rap

Vokal mantap Kudien dikagumi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Barangkali wajah dan namanya belum cukup dikenali peminat seni tempatan. Bagaimanapun, kemunculan Kudien dalam Konsert Wings & Superfriends yang berlangsung di Istana Budaya pada April tahun lalu berjaya menarik perhatian ramai peminat yang mengagumi kemantapan vokalnya.

Pemenang Kategori Rock program realiti 3 Juara ini tampil bersahaja menyanyikan lagu popular Wings sambil menerima tepukan gemuruh daripada penonton.

Bagi Kudien atau nama sebenarnya, Muhammad Ariffuden Mohd Rafee sendiri, momen itu menjadi kenangan indah sepanjang kariernya sebagai anak seni.

“Ketika itu, saya baru habis program 3 Juara dan tanpa disangka terus dapat tawaran daripada kumpulan Wings untuk beraksi dalam konsert ini.

“Ia amat mengejutkan kerana saya masih baru. Perasaan teruja sukar diucapkan kerana saya dapat beraksi bersama legenda yang saya kagumi iaitu Datuk Awie, Datuk Nash dan Datuk Hattan,” katanya.

Anak kelahiran Johor ini menganggap pembabitan dalam Konsert Wings & Superfriends sebagai satu pencapaian terhebatnya dalam bidang seni.

Kudien, 23, berkata, dia masih aktif menyanyi, namun, bukanlah di lokasi berskala besar yang ada ramai peminat.

“Saya akui ramai yang tertanya-tanya di mana saya sekarang dan perkembangan terbaru karier seni? Sebenarnya, saya masih ada dalam bidang seni.

“Saya banyak dapat tawaran buat persembahan untuk majlis makan malam tertutup di Kuala Lumpur dan Johor. Syukurlah, rezeki masih ada dalam bidang nyanyian,” katanya.

Dia juga gembira kerana kini dilamar sebagai artis Neo Gendang milik Edrie Hashim dan sudah mempunyai single berjudul Ruangan Gelap Gerhana yang diedarkan Life Records.

“Lagu ini dicipta oleh Edrie Hashim sendiri, manakala, liriknya oleh AD Samad. Ia mengisahkan seorang yang sangat kuat mempertahankan cintanya.

“Kalau ditanya saya berkenaan cinta, saya lebih sukakan cinta yang umum. Peminat yang dengar lagu ini, boleh mengungkapkan cinta mereka kepada kekasih, ibu bapa dan kepada Allah,” katanya.

Sesuatu yang ketara, kelibat Kudien juga sukar dilihat di kaca TV. Hakikat ini diakuinya dan dia berharap 2018 memberi sinar dalam kariernya.

“Selepas 3 Juara, saya hanya tampil dalam program Karaoke Boom di TV9. Saya sentiasa mencari ruang untuk tampil di stesen lain tapi belum berpeluang.

“Mungkin sekarang bukan rezeki. Barangkali, ramai yang tidak menonton 3 Juara tapi berilah peluang kepada wajah baru untuk sama-sama mewarnai industri kita,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 11:50am
d