rap

Havana lonjak Camila

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Walaupun sudah masuk empat bulan sejak versi audio lagu berjudul Havana ini dilancarkan di YouTube, nyanyian Camila Cabello ini nampaknya masih mencuri tumpuan peminat muzik Malaysia.

Di beberapa carta radio berbahasa Inggeris tempatan, Havana masih berada di puncak carta selama beberapa minggu.

Bermula program X Factor, Camila yang pernah menganggotai Fifth Harmony menganggap kerjaya seninya sebagai penyanyi solo menempa kejayaan yang tidak pernah dijangka.

Ketika bersama Fifth Harmony juga, dia sangat aktif menghasilkan lagu sendiri.

“Saya akan bangun awal. Naik bas, masuk ke bilik hotel, kuatkan suara TV. Saya tak mahu orang mendengar saya menjerit.

“Kemudian saya akan masuk ke dalam bilik mandi, buka komputer riba dan menulis lagu sepanjang hari. Ya, dalam bilik mandi,” katanya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

Menerusi Havana jugalah nama penyanyi berdarah Cuba-Amerika ini mendapat populariti mendadak ke seluruh dunia.

Bukan saja di Malaysia, Havana turut popular di beberapa negara lain dan mengungguli carta antaranya di Australia, Kanada, Ireland, Mexico, Scotland dan United Kingdom.

Havana yang berentak separa rancak dengan lirik yang memaparkan budaya hidup masyarakat Cuba itu juga secara tak langsung menjadi penanda aras buat lagunya selepas ini.

Video muzik Havana yang berdurasi enam minit 42 saat itu juga menarik perhatian ramai apabila menyelitkan adegan ala drama di bahagian permulaan dan penutup.

Sejak dimuat naik pada 24 Oktober lalu, video muzik itu mencatat 397 juta tontonan.

INFO

• LAGU: Havana

• PENYANYI: Camila Cabello feat. Young Thug

• KOMPOSER: Camila Cabello, Brittany Hazzard, Ali Tamposi, Brian Lee, Andrew Watt, Pharrell Williams, Jeffery Lamar Williams, Adam Feeney & Louis Bell

• PENERBIT: Frank Dukes

• TERBITAN/EDARAN: Epic & Syco

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 12:03pm
d