rap

Rita kongsi kisah suka duka

Oleh Najiy Jefri

Walaupun jadual seninya padat, pelakon popular Rita Rudaini tetap melapangkan masa bersama kelab peminat Rita Rudaini Fan Club (RRFC) yang menjadi nadi kembara seninya.

Sempena penutup tahun 2017, Rita diraikan RRFC dengan kehadiran seramai 100 ahlinya di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.

Acara yang bermula kira-kira jam 3 petang itu dihadiri ahli RRFC yang serba anggun dan cantik mengenakan persalinan mengikut tema iaitu Bollywood.

Rita yang mengenakan pakaian ala Bollywood berwarna merah itu menjadi tumpuan apabila dia bersama beberapa kenalan rapatnya membuka acara itu dengan menari tarian Bollywood.

Rata-rata peminat merakam momen indah itu dan ternyata Rita mempunyai bakat menari yang bukan calang-calang.

Menurut Rita, setiap tahun pasti ada aktiviti dianjurkan kelab peminatnya.

“Alhamdulillah, sokongan RRFC sejak dulu hingga sekarang tidak pernah berubah. Setiap tahun ada saja aktiviti mereka atur untuk meluangkan masa bersama saya.

“Tidak dinafikan, selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim, perjumpaan ini juga membolehkan saya berkongsi cerita suka dan duka serta bertukar pendapat mengenai kehidupan sebagai selebriti.

“Bagi saya, mereka ini bukan sekadar peminat tetapi sudah dianggap sebagai sebuah keluarga. Saya layan mereka sama rata,” katanya.

Menurut Rita, peminat adalah nadi untuk dirinya terus bertahan dalam bidang seni. Ini kerana tanpa sokongan peminat tidak mungkin dia berada di kedudukan sekarang.

“Mereka adalah tulang belakang yang menerima diri saya seadanya dan meminati saya semata-mata kerana bakat dan bukannya harta, paras rupa, glamor atau taasub.

“Kami sudah lama menjalin hubungan dengan baik. Walaupun silih berganti datang. Bagaimanapun yang kekal itu sentiasa ikhlas bersatu dan tidak pernah mengungkit dan berlebih-lebih.

“Mereka diibaratkan keluarga dan tempat saya menumpang bahagia. Saya berterima kasih kepada RRFC yang masih menerima saya seadanya. Mereka tidak sesekali membandingkan saya dengan sesiapa,” katanya.

Pada pertemuan itu, Rita turut mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya sepanjang pengenalan dengan peminat dia pernah mengecilkan hati mana-mana pihak.

“Saya mohon maaf kerana saya manusia biasa yang tak mampu beri lebih dari yang diminta. Saya akui banyak kekurangan namun apa yang saya mampu adalah melayan semua seperti kawan dan keluarga.

“Bukan senang nak kenal dan boleh bertandang ke rumah dan melepak bersama. Saya buat semua itu kerana ikhlas untuk berkawan dan tidak pernah mempunyai niat tersembunyi.

“Jadi, saya minta jangan minta lebih-lebih kerana saya tak mampu untuk puaskan hati cuma keikhlasan yang boleh saya hulurkan.

“Malah persahabatan dan kasih sayang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, namun terimalah saya seadanya. Mereka inilah yang kekal dari dulu hingga kini.

“Walaupun lama dan baru silih berganti, RRFC tetap di hati saya,” katanya.

Sempena perjumpaan itu, pelbagai aktiviti diadakan peminatnya seperti persembahan berkumpulan, menari sambil ‘miming’, peminat paling sporting dan cabutan bertuah

Lebih mengujakan, Rita turut merakamkan jutaan terima kasih kepada seorang hamba Allah yang sudi menaja program terbabit.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 12:15pm
d