rap

Bob selalu bermusafir, tidak cukup rehat

Oleh Ramlah Zainal

TIDAK cukup rehat dan tidur tak menentu kerana bermusafir dengan kereta antara punca pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman, 54, dimasukkan ke hospital UITM Sungai Buloh, jam 11 malam tadi kerana masalah jantung.

Katanya, keadaannya kini tidak terlalu teruk tetapi masih memerlukan pengawasan doktor.

“Selama ini saya selalu bermusafir dengan kereta hingga tidur tidak menentu. Keadaan itu menyebabkan badan saya menyimpan air yang banyak dan berasa sakit dada hingga dikejarkan ke hospital dan di tahan di wad kecemasan jantung.

“Menurut doktor, ada air dalam paru-paru dan degupan jantung juga tidak stabil. Masalah jantung juga tidak boleh dipandang ringan dan saya perlu keluarkan seberapa banyak air melalui perkumuhan,” katanya kepada Harian Metro.

Bob atau Mohd Hakim Lokman berkata, dia menerima rawatan dengan doktor yang pernah merawatnya sebelum ini pada 2015.

Katanya, doktor belum memaklumkan berapa lama dia harus ditahan di wad kerana dia juga belum boleh bergerak dengan normal kerana terlalu cepat penat.

“Jantung saya tidak tersumbat tetapi ia bengkak dan lemah. Doktor juga merawatnya dengan ubat dan diet yang ditetapkan.

“Saya juga ditemani isteri dan anak sepanjang dirawat di hospital,” katanya.

Bob juga mengakui menghadapi masalah kewangan dan memerlukan bantuan apabila sakit.

Katanya, dia juga ada tanggungjawab untuk menyara keluarga.

“Isteri saya suri rumah sepenuh masa. Alhamdulillah ramai sahabat datang menghulurkan bantuan sekadar termampu.

“Saya juga menyara hidup dengan melakukan kerja bantuan kemasyarakatan bersama Muslim Care. Selain itu, sebagai penceramah jemputan dalam program Bicara 2 Motivasi,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Relawati Daud, 40, mereka dikurniakan lapan anak, Mohamad Adam, 25; Omar Hakim, 24; Ahmad Sufian, 23; Ahmad Rayyan, 12; Nur Amanee, 10; Luqmanulhakim, 9; Muhammad Danial, 6 dan Nur Amalin, 4.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 6:27pm
d