rap

Azman nyanyi qasidah melepas rindu

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BEKAS penyanyi kumpulan rock Wicitra, Azman Bakar, 47, bahagia dengan kerjayanya kini sebagai pembantu guru dan pengajar qasidah di madrasah di Baling, Kedah.

Popular dengan lagu Mira Edora pada 1991, Azman akui dalam usianya kini dia tenang dengan kehidupan yang dipilih di pusat Madrasah Taqribul Ikhwan Fi Futurhir Rahman di Bukit Birut, Mengkuang Hujung, Kuala Pegang, Baling.

Katanya, madrasah itu dibangunkan abangnya, Ustaz Badrol Azhar Bakar yang juga bertindak sebagai mudir sejak sembilan tahun lalu.

“Mulanya ia dinamakan Madrasah Nabi Ulum yang beroperasi di Pondok Penanti. Kami berasal dari keturunan Tuan Guru Haji Salleh Penanti hingga Tuan Guru Syeikh Othman.

“Abang dikurniakan tanah wakaf di Kuala Pegang dan membuat keputusan membuka madrasah di situ,” katanya kepada Harian Metro.

Azman atau Bahrul Azman Bakar berkata, pembabitan di madrasah itu bermula apabila abangnya memintanya membantu mengajar qasidah untuk pelajar di situ.

“Saya mula terbabit sepenuhnya sejak tiga tahun lalu. Ada 267 murid di sini yang mendaftar masuk dan belajar secara percuma.

“Kami tiada sumber pendapatan tetap dan bergerak atas sumbangan daripada badan bukan kerajaan. Saya yakin apabila kita buat sesuatu ke jalan Allah, pasti akan dapat bantuan.

“Apa pun, kami amat mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang mahu memberi bantuan terhadap madrasah ini,” katanya.

Katanya, pelajar di pusat itu pula ada yang berasal dari Kemboja, Myanmar dan orang tempatan.

“Kami juga menerima pelajar yang terbabit dengan ketagihan dadah dan sehingga kini ramai yang berjaya dipulihkan menerusi rawatan tertentu termasuk solat dan minum air Zhafran,” katanya.

Azman yang kini berstatus duda dan mempunyai tiga anak, Muhammad Ramadhan, Ahmad Adib Rabbani dan Nur Auni Aqilah, berpisah dengan isteri sejak dua tahun lalu.

Katanya, dia turut membawa Muhammad Ramadhan mengikuti pengajian di situ.

“Di sini kami ada 12 mata pelajaran. Tak terkecuali kami juga ada 10 aktiviti menarik untuk pelajar,” katanya.

Azman juga akui tidak berminat menyanyi semula tetapi sesekali keinginan itu timbul juga.

“Mujurlah madrasah kami ada kumpulan qasidah. Secara tidak langsung saya boleh menyanyi lagu-lagu popular dalam bentuk qasidah,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 7:44pm
d