rap

Janganlah sesuka hati tuduh orang mandul

Oleh Ardini Sophia Sina

“JAGALAH mulut apabila beri komen jangan sesuka hati tuduh orang mandul,” luah pelawak Achey, 32, apabila ada pihak mengatakan dia dan isteri mandul kerana belum dikurniakan anak walaupun tujuh tahun berumahtangga.

Kata Achey atau Mohd Nasir Hamzah, dia tidak menyimpan dendam dengan kata-kata mereka itu malah dia dan isteri sudah lali dengan kata-kata itu sejak tiga tahun lalu.

“Mungkin mereka tidak pernah merasai apa yang kami lalui. Saya dan isteri sebenarnya tidak kisah kerana pada usia perkahwinan kami tiga tahun lagi macam-macam orang cakap.

“Cuma janganlah cakap ikut suka saja, takut nanti perkara itu berbalik pada diri sendiri. Kalau bukan diri sendiri mungkin pada anak, adik-beradik atau saudara-mara,” katanya kepada Harian Metro.

Achey menganggap situasi yang dihadapinya kini adalah ujian dari Allah dan hanya orang tertentu saja yang diberikan ujian sedemikian.

Katanya, sehingga hari ini mereka tidak pernah putus asa dan mencuba apa saja rawatan mahupun petua untuk mendapatkan zuriat.

“Sama seperti orang lain, kami juga menyimpan hasrat mempunyai anak. Saya dan isteri ada pergi ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan. Isteri saya juga pergi berurut dan kami menjalani kehidupan lebih sihat dengan menjaga pemakanan.

“Kami tetap positif dan menganggap ini sebagai ujian dari Allah. Ada yang diberikan kesenangan tetapi bukan kebahagian dengan anak tetapi ada juga merasai kegembiraan mempunyai zuriat sendiri namun kurang dari segi kewangan,” katanya.

Perkongsian Achey mengenai perjalanan hidupnya sebagai anak seni termasuklah isu zuriat menerusi program Di Balik Tawa baru-baru ini, menyentuh hati penonton dan peminatnya.

Kata Achey, dia mendapat maklum balas positif dan ramai menghantar mesej menerusi Instagram untuk memberi kata-kata semangat.

“Saya berterima kasih kepada semua peminat dan penonton Di Balik Tawa kerana memberi komen positif dan mendoakan kesejahteraan kami.

“Mungkin usia perkahwinan kami baru tujuh tahun tetapi saya juga merasai apa yang dirasai oleh mereka yang sudah lama menunggu cahaya mata. Saya sekadar berkongsi pengalaman dan perasaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 8:42pm
d