rap

Kalau mahu mintalah jangan curi...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Azharina Azhar, 33, berhadapan pelbagai kerenah pengasuh anaknya sejak bekerja November tahun lalu.

Katanya, baru bekerja dua hari meminta balik kampung dan hari keempat pula minta dibelikan telefon bimbit jenama iPhone dan akhirnya hari kelima dibelikan tiket penerbangan pulang.

Azharina mengaku terkejut dengan permintaan gadis berusia 18 tahun itu kerana pekerjanya yang lain tidak pernah meminta.

“Saya hubungi ibu bapa gadis itu untuk memaklumkan perkara ini dan mereka meminta saya jangan melayan perangai anaknya.

“Bagaimanapun, saya malas hendak memaksanya terus bekerja dan membelikan tiket penerbangan pulang ke Kota Belud, Sabah pada hari kelima.

“Dia pulang 2 Januari lalu dan hanya bekerja kira-kira sebulan sahaja. Setibanya di kampung, dia menghubungi saya menerusi panggilan video memaklumkan dia sudah selamat sampai.

“Namun saya terkejut apabila melihat sarung telefon bimbit saya ada bersamanya,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Azharina, dia cuba bertanya mengenai sarung telefon itu tetapi panggilannya dimatikan. Gadis itu mengelak setiap kali ditanya mengenai perkara itu.

“Selepas itu baru saya sedar tiga sarung telefon bimbit iPhone 5 hilang. Semua itu koleksi kesayangan saya yang dibeli di Itali ketika bercuti di sana tahun lalu. Dianggarkan untuk tiga sarung telefon itu bernilai RM500.

“Lebih terkejut apabila barang itu dijual di aplikasi Wechat milik adiknya. Sampai hati dia berbuat sedemikian. Kalau nak, boleh minta. Tapi jangan mencuri, saya boleh saja bagi,” katanya.

Perkara itu dikongsi Azhari di Facebook miliknya. Katanya, bukan tujuan nak memalukan tetapi ingin memberi pengajaran kepada semua agar jangan mencuri.

Selain tiga sarung telefon itu, Azharina juga mendakwa turut kehilangan wang tunai dan pakaian milik pembantu rumahnya.

Sebelum ini, Azharina pernah berhadapan masalah dengan pembantu rumah yang lari hingga mengalami kerugian lebih RM6,000 untuk proses mengambilnya bekerja.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 1:21pm
d