rap

Ibu CK Faizal masuk hospital

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENGACARA CK Faizal, 35, mengharapkan kehadiran ibu tersayang menyambutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik pulang menunaikan umrah, petang semalam.

Bagaimanapun, pengacara Trek Selebriti itu hampa tidak dapat bertemu sebaliknya dikejutkan dengan berita ibunya, Fatimah Mat England, 78, mengalami komplikasi jantung dan dimasukkan ke hospital.

Kata CK, sepatutnya ibunya hadir ke KLIA menyambut kepulangannya dari menunaikan umrah di Tanah Suci tetapi terkejut melihat ketiadaannya bersama keluarga lain.

“Saya tiba di Kuala Lumpur jam 6.27 petang dan dimaklumkan oleh keluarga mengenai ibu saya yang mengalami komplikasi jantung.

“Selepas selesai menguruskan bagasi dan sebagainya, saya terus ke Pulau Pinang untuk melihat keadaan ibu. Sebaik tiba di Pulau Pinang, saya memberi ibu minum air zam zam dan kurma Nabi kepadanya.

“Buat masa sekarang, nadinya masih lemah sekitar 30 degupan per minit. Secara saintifik, doktor memaklumkan ibu saya mengalami ‘complete heart block’,” katanya kepada Harian Metro.

Kata CK, dia dimaklumkan bahawa sebelum berangkat ke KLIA, ibunya beritahu ahli keluarga yang dia berasa sakit di bahagian belakang.

“Apabila dibawa menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan denyutan nadinya terlalu perlahan dan perlu ditahan di hospital di Manjung, Perak.

“Pihak hospital kemudiannya memindahkan ibu ke hospital lain di Pulau Pinang memandangkan di situ ada pakar dalam bidang Kardiologi.

“Saya anggap ini sebagai ujian dan mohon semua doakan ibu saya,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 4:19pm
d