rap

Tysha tak batas kerjaya

Oleh Ardini Sophia Sina

Batrisyia Tiar atau Tysha mengharapkan sinar dalam kerjaya seni yang baru dibinanya. Muncul dengan lagu Sekian Cinta, wanita berusia 24 tahun itu juga terbabit dengan teater muzikal Ola Bola.

Anak jati Kuching, Sarawak ini mendapat pendedahan awal dalam bidang nyanyian sejak kecil lagi. Memasang impian bergelar penyanyi terkenal, dia pernah menyertai beberapa pertandingan anjuran pelbagai pihak.

Antaranya, Bintang Kecil anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) ketika berusia 11 tahun. Mewakili Sarawak, dia berjaya meraih gelaran juara.

“Keluarga saya suka menyanyi dan ia mendorong saya untuk menceburi bidang seni. Saya kemudian menyertai pertandingan dan mengambil kelas vokal.

“Pada usia 15 tahun, saya menggunakan YouTube sebagai medium untuk memuat naik rakaman video nyanyian saya.

Tidak terhenti setakat itu, saya melangkah setapak lagi dengan menjayakan persembahan.

“Paling besar yang pernah saya lakukan adalah sebagai penyanyi pembukaan Konsert Search di Kuching. Ia antara pengalaman paling berharga saya,” katanya.

Pada usia 19 tahun, Tysha memuat naik lagu pertama gubahan sendiri di YouTube. Ia membawa tuah kepada gadis itu kerana dapat bekerjasama dengan komposer terkenal Audi Mok untuk menghasilkan lagu sulung berjudul Fatamorgana.

Fatamorgana dipilih sebagai lagu tema drama Jodoh. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Fashion Media and Marketing dari University of Winchester, England ini kini bernaung bawah syarikat rakaman Warner Music.

Tidak hanya muncul dengan Sekian Cinta, Tysha juga sibuk dengan latihan teater muzikal Ola Bola. Teater itu akan mula dipentaskan pada 8 Februari depan.

Walaupun menyanyi dan menghasilkan lagu adalah keutamaannya, Tysha tidak membataskan kerjaya seni dan berharap dapat pergi jauh dalam dunia lakonan.

“Menyanyi dan membuat lagu adalah jiwa saya. Insya-Allah, kalau diberikan peluang dan dimurahkan rezeki, saya akan terus melakukannya. Saya juga akan menulis untuk penyanyi lain.

“Pada masa sama saya juga akan terus meneroka bidang lakonan. Teater muzikal Ola Bola mendedahkan saya kepada ilmu persembahan. Ia memerlukan saya menari dan ia sesuatu yang baru buat saya.

“Saya teringin muncul dalam drama dan filem. Apapun, saya mahu kukuhkan kerjaya nyanyian dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Tysha terpaksa berulang-alik dari Sarawak ke Kuala Lumpur jika ada persembahan. Meskipun penat, dia tidak pernah mengeluh demi kerjaya yang dicintai.

Kini, dia menetap di Kuala Lumpur bagi mengembangkan kariernya. Tysha juga bertuah kerana ibu bapanya sangat memahami minatnya dan tidak pernah henti memberikan sokongan.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 5:58am
d