rap

Aksi 'kasar' penuh warna

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Menjadikan insiden ‘Heuksapa’ yang berlaku pada 2007 sebagai latar cerita, pengarah Kang Yoon Sung boleh dikatakan berjaya kembali dengan filem genre jenayah triler yang ‘kasar’ tetapi penuh warna.

Kang berjaya membina filemnya dalam ruang lingkup aktiviti kumpulan gengster Cina yang tidak takut menggunakan kaedah kejam untuk menguasai dunia jenayah mereka.

Babak pembukaan saja sudah menunjukkan kekejaman dilakukan kumpulan itu diketuai Jang Chen (lakonan Yoon Kye Sang) yang menuntut bayaran balik pinjaman yang berganda daripada jumlah asal pinjaman daripada seorang mangsa mereka.

Kemudian, penonton diperkenalkan pula dengan watak Ma Seok Do (lakonan Ma Dong Seok), pegawai polis Unit Jenayah Serius Polis Geumbong yang berperwatakan berbeza daripada Jang.

Pengenalan babak Ma memang menarik, sekali gus membuatkan penonton tertarik dan teruja pada masa sama.

Ini boleh dilihat pada babak Ma meleraikan pergaduhan ganas dua gengster sambil tangannya masih memegang telefon bimbit dan bercakap dengan seseorang.

Pendekatan Ma seolah-olah cuba menyeimbangkan kuasa antara kumpulan gengster walaupun terpaksa membuatkan mereka duduk dalam satu bilik sama atau pastikan mereka ‘berpeluk’ antara satu sama lain.

Babak pembukaan seolah-olah membayangkan aksi yang lasak dan besar bakal dijadikan isi cerita seterusnya tetapi sebaliknya yang berlaku.

Penonton disajikan dengan permainan taktikal oleh dua watak utama, Ma dan ketuanya, Kapten Jeon (Choi Gwl Hwa).

Selain itu, penceritaan atau naratifnya mengikut laluan yang teratur. Terutama pada babak Ma menyiasat kes pembunuhan ketua kumpulan Venom, kemudian babak selesaikan hutang dengan rakan subahat Jang.

Naratif itu juga memberi ruang kepada rentak watak untuk berkembang, terutama hubungan erat di antara Ma dan pegawainya, Hong Suk dan orang lain di sekelilingnya.

Melalui babak-babak itu, watak Ma menyerlah tapi ‘sweet’ pada masa sama. Ia turut mewujudkan emosi tidak disangka-sangka dalam kalangan penonton.

Apa sekalipun, penghargaan wajar diberikan kepada pengarah filem, Kang yang menyerlah dalam memastikan jalan ceritanya asli.

Jika anda mencari sisi humor dan masa sama serius melalui lakonan yang berkesan, The Outlaws adalah filem aksi terbaik dari Korea Selatan pada masa ini.

THE OUTLAWS (KOREA)

• ARAHAN: Kang Yoon Sung

• PELAKON: Ma Dong Seok, Yoon Kye Sang, Jo Jae Yun, Im Hyung Joon

• GENRE: Aksi penyiasatan

• TAYANGAN: 4 Januari 2018

• ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 6:04am
d