rap

Shahrol pilih tawaran terbaik

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Baru berkumandang suaranya menerusi stesen radio Suria FM, tiba-tiba anggota kumpulan Shiro, Shahrol Azizie Azmi terus hilang dari stesen radio yang semakin menjadi pilihan itu.

Sebelum ini, peminat dan pendengar menyambut baik penyertaan Shahrol sebagai penyampai radio yang mengendalikan program pagi selepas dia menamatkan kontraknya bersama Era FM.

Tiba-tiba saja, dia tidak lagi bertugas bersama Suria dan selang beberapa minggu, suaranya kini berkumandang menerusi stesen radio beroperasi di tanah kelahirannya di Johor Bahru iaitu Best FM.

Ramai yang keliru dan tidak faham apa yang sedang berlaku. Tiada angin dan tiada ribut, mengapa tiba-tiba saja Shahrol bertukar bertugas di stesen radio lain?

Lebih daripada itu, ada yang membuat andaian kononnya Suria FM tidak mampu untuk menggaji pelawak terkenal itu dan disebabkan itu,kontraknya tidak disambung.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Suria FM sendiri menyatakan bahawa naib juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017 itu tidak lagi bersama stesen radio terbabit bukanlah kerana digugurkan berikutan masalah disiplin, sebaliknya Shahrol mendapat tawaran daripada stesen radio lain.

Ada juga yang membuat dakwaan yang Best FM berjaya menawan hati Shahrol untuk bersama mereka dengan jumlah bayaran jauh lebih tinggi berbanding apa yang dibayar Suria FM sebelum ini.

Menjelaskan perkara yang hangat diperkatakan dalam kalangan orang industri, Shahrol ketika dihubungi berkata, apa yang diperkatakan itu tidak benar.

“Sebenarnya sewaktu saya menyertai Suria FM, memang kontrak yang ditandatangani hanya untuk tiga bulan saja.

“Sebaik saja kontrak tamat, pihak pengurusan Suria FM tidak berbincang untuk menyambung kontrak saya. Bagaimanapun, ingin saya jelaskan tiada tawaran datang sepanjang saya bertugas bersama Suria FM, sebaliknya tawaran diberi Best FM datang selepas kontrak saya itu tamat,” katanya.

Shahrol juga menafikan sebaik saja kontraknya tamat bersama Suria FM, dia terus memulakan tugas dengan Best FM.

Menurut Shahrol yang kini menubuhkan syarikat produksinya sendiri, tarikh dia tamat kontrak dengan Suria FM ialah 10 Oktober 2017 dan selepas itu berehat hampir dua bulan sebelum bertugas pula di Best FM bermula 11 Disember.

Shahrol berkata, dia bersetuju untuk menyertai Best FM kerana minatnya yang masih mendalam dalam bidang penyiaran.

“Saya sendiri tidak pernah menyatakan kepada umum yang saya mahu bersara atau berhenti daripada menjadi penyampai radio. Sebaik kontrak bersama Suria FM

tamat, tidak dinafikan ada lagi beberapa tawaran datang tetapi selepas beberapa rundingan dijalankan saya berasakan tawaran daripada Best FM adalah yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2018 @ 6:32am
d