rap

Imagine Dragons mantap mempesona

Oleh Georgie Joseph

Hebatnya sesebuah band itu dinilai daripada saat vokalisnya mula membuka mulut sehinggalah ke persembahan terakhir yang gah, menaikkan bulu roma dan sempurna.

Bukan semua band boleh melakukan itu.

Namun, menyaksikan band dari Las Vegas, Amerika Syarikat, Imagine Dragons pada konsert Imagine Dragons Evolve World Tour di Stadium Malawati, Shah Alam malam kelmarin, sukar untuk menggambarkan betapa luar biasanya band itu.

Dianggotai Dan Reynolds sebagai vokalis, Wayne Sermon (gitar), Ben McKee (bass dan keyboard) dan Daniel Platzman (dram), jiwa yang diberikan dalam setiap persembahan meninggalkan impak mendalam buat penonton.

Jika seseorang peminat itu tidak fanatik terhadap mereka sekali pun, pasti akan terkesan dengan corak pementasan mereka. Biarlah hanya tahu beberapa lagu saja tetapi ia bukan penghalang menikmati persembahan Imagine Dragons.

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Tidak perlu menjadi peminat fanatik pun, hanya hadir pada konsert mereka sudah tentu akan terus jatuh cinta dengan band ini.

Pertama, setiap kali menonton konsert penonton pastinya ingin mendengar vokal hebat seiring dengan permainan muzik yang gah. Itulah yang dibuktikan dan dipamerkan Dan.

Dari saat dia membuka mulut, sukar untuk melihat cacat cela nyanyiannya. Nyanyiannya benar-benar seperti mendengar rakaman yang sudah cukup tinggi kualitinya.

Bagaimanapun, bukan setakat teknikal nyanyian, emosi pada setiap bait nyanyiannya begitu terasa. Dia mengungkapkannya dengan penjiwaan yang sangat tepat.

Barangkali itulah juga yang membuatkan band ini jauh berbeza dan unik berbanding band lain. Mereka tahu menyentuh setiap titik emosi penonton dengan sisi muzikal serta lirik yang tepat.

Jelas terlihat, penonton juga tidak sesaat pun ingin mengalihkan pandangan dari pentas. Ibaratnya jika terlepas pasti satu kerugian besar disebabkan pesona Imagine Dragons begitu menawan.

Seperti mana sempurnanya sisi muzikal band itu, begitu juga pementasan keseluruhan konsert itu dengan sistem pencahayaan yang mantap. Ia berkelip seiring dengan getaran rentak muzik mereka.

Menampilkan elemen dram tambahan sebagai identiti muzik mereka, sesekali Dan akan mengetuk dram itu sehingga menghasilkan bunyi yang nyata membuatkan bulu roma berdiri.

Namun, saat paling memukau pastinya sewaktu mereka menukar suasana konsert dengan sesi akustik.

Hanya berbekalkan gitar, cello, dan keyboard, suasana menjadi hening untuk seketika dengan hanya ditemani vokal Dan.

Saat itu, barulah kemampuan sebenar mereka menjadi lebih terserlah. Benarlah, mereka memang sekumpulan pemuzik yang dianugerahkan bakat istimewa dan luar biasa.

Gemersik suara Dan meresapi segenap ruang stadium bergabung pula dengan gesekan cello serta instrumen lain. Harmoni suara yang dibuat juga cukup sempurna melengkapkan lagi persembahan itu.

Mereka berjaya membawa penonton ke satu tahap yang jauh berbeza daripada suasana muzik kuat sebagaimana ditampilkan terlebih dahulu.

Walaupun tujuan mereka berada di pentas adalah untuk memberi hiburan maksimum, Imagine Dragons sempat berkongsi mesej sejagat buat semua. Ternyata mereka bukan penghibur yang sekadar memperjuangkan hiburan namun penuh dengan nilai postitif.

Dan kongsi hal peribadi

Pada kesempatan itu, Dan juga sempat berkongsi pengalaman peribadinya.

Dia mengakui semakin pulih daripada penyakit kemurungan yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

Sangat mengambil berat terhadap hal itu, sempat menasihati penonton yang senasibnya meminta pertolongan secepat mungkin.

“Sejak saya didiagnosis mengalami kemurungan beberapa tahun lalu, saya tidak sangka ia akan bertukar kekuatan buat saya sekarang. Jangan pernah menganggap penyakit itu sebagai satu kelemahan.

“Kepada sesiapa yang berhadapan kemurungan atau ketakutan, jangan jadikan ia kelemahan diri. Carilah bantuan dan suarakan apa yang kamu ingin sampaikan.

“Paling bagus, carilah pakar terapi untuk diri kerana saya pun memiliki satu. Saya ingin beritahu semua yang saya kini sangat-sangat sihat,” katanya di hadapan lebih 10,000 penonton itu.

Ini adalah kunjungan pertama kali band yang mula meledak dengan lagu Radioactive itu. Band rock berkenaan mengakui sudah lama menyimpan hasrat melawat Malaysia.

Menurut Dan, mereka cuma menunggu masa paling tepat untuk merealisasikan impian peminat di sini.

“Untuk pengetahuan semua, kami adalah band yang menjaga sendiri media sosial kami. Saya masih ingat pada 2012, peminat sini sudah membuat permintaan supaya kami datang Malaysia.

“Akhirnya, impian itu tercapai dan kami sangat bertuah dapat memijak negara ini. Kami dilayan dengan begitu baik dan kamu semua memang mengagumkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2018 @ 10:33am
d