rap

Kembalikan kenangan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bermula daripada kewujudan kumpulan WhatsApp untuk menjalinkan hubungan silaturahim, akhirnya membawa kepada penganjuran showcase Setangkai Irama 80-an.

Program anjuran Nassier Wahab Production (NWP) milik penyanyi Datuk Nassier Wahab yang menampilkan lapan artis iaitu Nassier sendiri, Rohana Jalil, Raja Ema, Zur Eda, Salwa Abdul Rahman, Shidee, Ibnor Riza dan Razis Ismail ini akan berlangsung pada 21 Januari di Restoran D’ Empangan Udang Galah, Putrajaya, jam 8.30 malam.

Nassier berkata, perancangan menganjurkan persembahan itu sudah lama difikirkannya dan apabila diusulkan kepada rakan artis, terus mendapat jawapan yang positif.

“Sememangnya hubungan kami iaitu artis era 1980-an sangat rapat dan masih berhubung sehingga kini. Kami juga masih aktif menyanyi. Apabila saya beritahu untuk buat showcase ini, mereka cepat bersetuju dan tunjukkan komitmen yang penuh.

“Diikutkan, masing-masing jarang berjumpa kerana ada jadual sendiri yang padat. Alhamdulillah, atas kepercayaan yang diberikan semua, kami bersatu hati pilih tarikh 21 Januari untuk showcase istimewa ini,” katanya.

Nassier yang dibantu Rohana dalam penganjuran itu memberitahu, Setangkai Irama 80-an dipilih kerana judul ini amat popular sebagai satu program hiburan di TV pada era itu.

“Generasi dulu tentunya tahu program ini yang meriah dengan persembahan artis. Jadi, kami cuba kembalikan era dan kenangan lagu yang pernah dinyanyikan dulu.

“Pemilihan artis ini sebagai permulaan untuk siri pertama dan selepas ini saya bercadang buat showcase artis era 80-an secara besar-besaran,” katanya.

Menurutnya, pilihan artis yang dibuat sangat tepat kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Ikutkan saya bercadang tampilkan 12 artis tapi memandangkan masa terlalu suntuk, kami kekalkan lapan artis ini.

“Seorang artis kena menyanyi tiga lagu dan satu lagu duet. Jika ada sambutan, saya mungkin buat showcase seterusnya dan kami akan menyanyikan lebih lagi lagu,” katanya.

Rohana pula berterima kasih kepada Shidee kerana mewujudkan kumpulan WhatsApp artis 80-an yang mencetuskan kepada showcase ini.

“Katanya ini bagi memudahkan kami berhubung untuk pelbagai urusan termasuk buat persembahan. Kebetulan saya banyak berada di restoran D’ Empangan Udang Galah untuk buat persembahan. Jadi saya mengajak mereka datang berjumpa dan berbincang.

“Tak sangka ia membawa kepada idea penganjuran showcase ini. Sekiranya berjaya, tak mustahil kami akan meneruskannya di lokasi lain. Ini impian saya kerana peminat menantikan kehadiran kami di tempat mereka,” katanya.

Biarpun bekerjasama dengan rakan artis yang juga kawan, Nassier tetap menghormati mereka apabila bersikap profesional membayar dengan harga tinggi.

Tiket untuk menonton berharga daripada RM100 sehingga RM500 dan keterangan terperinci boleh didapati menerusi Instagram artis terbabit dengan showcase ini.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 4:19am
d