rap

'Saya tak campur, harap selesai dengan baik'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

MESKI pun nama penyanyi Amelina, 43, turut dipetik dalam pertelingkahan antara Roslan Shah dan Ifa Raziah, penyanyi dangdut yang popular dengan lagu Asyik itu tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak.

Katanya, dia tidak mahu sebarang kenyataan diberi akan memanjangkan lagi persengketaan yang sedang berlaku.

“Apa pun saya akui ada beberapa fakta yang dinyatakan benar dan saya memang baik dengan Roslan Shah. Dia pernah mengesyorkan nama saya untuk menyertai bazar jualan di Singapura tetapi sebelum ini Norshila Amin terlebih dulu membawa saya berniaga di sana.

“Sumpah dengan nama Allah, mereka tidak ambil duit langsung. Kata mereka, waktu itu mereka menganggap saya sebagai adik beradik dan mahu membantu saya yang dalam kesusahan,” katanya kapada Harian Metro.

Pertelingkahan terbuka di laman sosial antara Roslan dan Ifa berpunca daripada rasa tidak puas hati dan cakap belakang itu.

Nama Amelina turut dipetik begitu juga beberapa nama lain turut diheret bersama kononnya sebagai bukti. Perkara itu dilakukan untuk menegakkan tindakan masing-masing.

Kata Amelina, dia banyak bekerjasama dengan Roslan selepas dilantik Datuk Seri Aliff Syukri menjadi duta salah satu produknya dan menjayakan jelajah promosi bersama.

“Dalam pertelingkahan itu, banyak nama turut disebut dan terkejut apabila nama saya turut dikaitkan. Tapi saya tidak mahu campur.

“Apa yang diperkatakan saya tidak tahu hujung pangkal dan tidak tahu apa yang tersirat dalam hati masing-masing,” katanya.

Amelina menasihatkan Roslan dan Ifa mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah berlaku antara mereka dan menghentikan pertelingkahan terbuka yang boleh mengaibkan kedua-dua pihak.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 3:48pm
d