rap

Adunan muzik orkestra

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Suara penyanyi Rem yang pernah popular menerusi beberapa karya balada seperti Selingkar Kasih dan Erti Kasih tidak perlu lagi dinafikan.

Serasi dengan lagu genre perlahan dan penuh drama, Rem kembali dengan single terbarunya berjudul Sinar Kasih.

Rentak balada diketengahkan komposernya A.R, masih menjadi modal utama buat Rem, namun diadun dengan beberapa elemen yang lebih ‘mahal’.

Mana tidaknya, tak semua lagu sesuai diadun dengan muzik orkestra dan lagu ini pula, tampak berkesan.

Rem yang terkenal dengan trademark ‘suara meneran’ itu juga bijak membawakan lagu ini dan memberikan keserasian dengan melodi.

Disiapkan sebelum dia sendiri menyertai program Gegar Vaganza 3 (GV3), kini lagu ini mula dipromosikan di YouTube dan beberapa platform penstriman muzik.

Umpama jatuh cinta pandang pertama, begitu jugalah kisah ‘pertemuan’ antara Rem dengan lagu barunya ini.

“Saya mengenali Anuar atau A.R dalam satu program dan kemudian terus ke studio miliknya. Saya terus terpikat dengan lagu ciptaannya memandangkan ada sesuatu yang berbeza,” katanya.

Menurut Rem, elemen orkestra menjadikan lagu ini sebagai sesuatu yang istimewa buatnya secara peribadi.

“Saya sendiri belum pernah merasa pengalaman muzik sebegini dalam album terdahulu,” katanya.

Tentunya Rem sentiasa mengharapkan akan ada rezeki buat lagu yang dihasilkan khas sebagai hadiah buat peminatnya ini.

• LAGU: Sinar Kasih

• PENYANYI: Rem

• KOMPOSER: A.R.

• LIRIK: Rem

• TERBITAN: Rem Entertainment & Services

• EDARAN: Universal Music Sdn Bhd

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 2:28am
d