rap

Biarlah zuriat secara normal

Oleh Najiy Jefri

PELAWAK Achey Bocey mengakui menerima tawaran tajaan untuk membuat program bayi tabung uji yang juga dikenali sebagai In Vitro Fertilization (IVF).

Bagaimanapun Achey ditemui Harian Metro, hari ini berkata, dia belum bersedia melakukan rawatan itu meski ia satu alternatif bagi pasangan suami isteri yang gagal mendapat anak.

“Memang ada menerima beberapa tawaran tajaan melakukan proses IVF tapi saya dan isteri belum bersedia menjalani rawatan itu.

“Bukan apa, jika mahu melalui proses itu kami perlu rehat yang panjang dan tidak boleh dalam keadaan tertekan. Saya sekarang terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Insya-Allah jika sampai masa yang sesuai saya akan cuba ikhtiar menerusi keadah itu. Saya tidak menolak cuma buat masa ini masih berfikir selain masa yng tidak sesuai,” katanya.

Menurut Achey, dia dan isteri, Nor Hasanah Yahaya berusaha memperoleh zuriat secara normal dan sudah membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur sejak awal Mac tahun lalu.

“Kalau boleh saya mahu memperoleh anak secara normal. Tahun lalu kami ke HKL untuk mendapatkan rawatan dan mengesan punca masalah yang dihadapi.

“Doktor memaklumkan isteri tidak mengalami masalah apa-apa dan saya masih menunggu keputusan.

“Barangkali doktor memberitahu saya tertekan menyebabkan sukar untuk dikurniakan zuriat,” katanya.

Achey dan Hasanah mendirikan rumah tangga tujuh tahun lalu namun belum dikurniakan cahaya mata.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 5:59pm
d