rap

GegaRia santai habis!

Oleh Najiy Jefri

FESTIVAL GegaRia yang akan berlangsung Sabtu ini di tapak letak kereta B, Setia City Convention Centre, Shah Alam bakal dihangatkan dengan persembahan artis popular tanah air.

Persembahan di pentas utama itu menampilkan penyanyi terkenal iaitu Noh Salleh, Bunkface, De Fam, Akim & The Majistret dan Masdo.

Konsert bermula 4 petang hingga 10 malam turut menyaksikan kehadiran enam finalis Anugerah Juara Lagu ke-32 seperti Salma, Haqiem Rusli, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari dan Hael Husaini.

Menggabungkan pelbagai elemen gaya hidup dengan konsep lebih santai dan hipster, karnival anjuran Media Prima Berhad itu turut menghimpunkan pelbagai acara seni seperti permainan, kecergasan, juadah enak dan fesyen kepada orang ramai bermula jam 8 pagi.

Pengunjung juga berpeluang berkongsi dan menimba ilmu daripada selebriti sosial media terkenal seperti Faiz Dickie dan JinnyboyTV yang akan berkongsi kisah kejayaan dalam kerjaya masing-masing.

Bukan sekadar berhibur malah pengunjung berpeluang menyertai pelbagai acara kecergasan dan sukan tradisional seperti zumba, congkak, teng-teng, gasing, baling selipar dan jengga selain e-games menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.

Selepas Setia City, Shah Alam, Festival GegaRia akan diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, Padang A, Johor Bahru (3 Februari) dan Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Februari.

Disiarkan pada: January 10, 2018 @ 7:23pm
d