rap

G-Eazy protes iklan unsur rasis

Oleh Georgie Joseph

Berikutan keterlanjuran syarikat pakaian ternama H&M mengeluarkan sebuah iklan berunsur perkauman, beberapa artis memutuskan untuk menamatkan projek kolaborasi bersama syarikat itu.

Terbaru, penyanyi rap G-Eazy menyertai The Weeknd mengumumkan dia tidak akan mengikat kerjasama dengan syarikat terbabit.

Ia berikutan iklan yang dikeluarkan untuk koleksi baju kanak-kanak di mana mereka menggunakan model kulit hitam. Dalam foto itu, kanak-kanak berkenaan dipakaikan baju yang menggunakan slogan ‘coolest monkey in the jungle’.

Pengumuman itu dibuatnya di media sosial bahawa dia sudah menamatkan kontrak sambil menyatakan perasaan terkilan.

“Beberapa bulan lalu, terus-terang, saya sangat teruja untuk pelancaran koleksi akan datang serta kolaborasi bersama H&M.

“Malangnya, selepas melihat foto yang cukup tidak menyenangkan itu semalam, keterujaan saya lenyap serta-merta pada kempen global berkenaan. Saya memutuskan kali ini kerjasama itu perlu ditamatkan,” katanya.

Ternyata tindakan pantasnya itu adalah demi menjaga reputasi di samping dia sendiri tidak akan menyokong sebarang perbuatan berunsur perkauman.

Dengan keputusan itu, G-Eazy berharap syarikat berkenaan akan lebih peka dan membuka mata dengan isu sensitif pada masa depan.

“Saya tidak boleh membiarkan nama dan jenama dikaitkan dengan syarikat yang melakukan perkara sebegitu.

“Saya berharap situasi ini akan menjadi pengajaran kepada H&M dan syarikat lain juga harus peka dengan isu budaya dan perkauman. Mereka harus menghormati setiap kepelbagaian yang ada,” katanya.

Semalam, syarikat berkenaan mengeluarkan permohonan maaf dan berjanji akan membuang terus foto iklan itu daripada semua rangkaian pemasarannya.

Sejak foto berkenaan dilancarkan, iklan itu mendapat kecaman ramai akibat menyentuh isu perkauman termasuklah selebriti. Malah, penyanyi rap The Weeknd yang pernah berkolaborasi dengan syarikat itu turut bertindak sama.

Menurutnya, dia tidak akan mengikat kerjasama dengan syarikat itu lagi selepas melihat iklan berkenaan.

“Terkejut dan malu dengan foto ini sebaik bangun pagi tadi. Saya benar-benar tersinggung dan tidak mungkin akan bekerja dengan @hm lagi,” tulisnya di Twitter.

Perkataan ‘monkey’ sudah lama digunakan yang melambangkan penghinaan membabitkan kaum tertentu.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 3:18am
d