rap

3 karya terbaik bertanding dalam MGGA

Oleh Michelle Gun

Tiga karya terbaik antarabangsa menerima enam pencalonan dalam Anugerah Global Emas Malaysia 2018 (MGGA) yang akan berlangsung di ibu kota pada 3 Mac ini.

Karya berkenaan adalah Angels Wear White (China/ Perancis), Blockage (Iran) serta The Great Buddha (Taiwan) dan bertanding dalam kategori Filem Terbaik.

Turut bersaing dalam kategori itu ialah filem A Letter To The President (Afghanistan) dan Pop Aye (Singapura/ Thailand).

Blockage, arahan pengarah Mohsen Gharaei menerima Filem Terbaik pada Anugerah Festival Filem Antarabangsa Busan ke-22.

Ia mengisahkan pegawai majlis perbandaran, Ghassem berusaha membawa ketenangan dalam rumah tangganya, namun, sering tidak sependapat dengan isterinya.

Angels Wear White pula mengisahkan pendedahan rasuah di kalangan pegawai kerajaan dan polis yang terbabit dalam kes seksual kanak-kanak.

Filem berbahasa Mandarin ini diarahkan Vivian Qu dan menampilkan barisan pelakon iaitu Vicky Chen, Zhow Meijun dan Shi Ke.

Qu dinobatkan Pengarah Terbaik pada Anugerah Golden Horse ke-54 yang berlangsung di Taiwan, November lalu.

Bagi The Great Buddha, arahan Huang Hsin Yao pula menang besar apabila membawa pulang lima trofi dari 10 pencalonan pada Anugerah Golden Horse ke-54.

Malah, ia turut menerima lima trofi pada Anugerah Filem Taipei ke-19 dan satu lagi di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2017.

Karya itu mengisahkan pekerja kilang pembuatan patung Buddha yang menemui rakaman video pertemuan rahsia pemilik.

Sementara itu, Pesta Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) tahun ini memperkenalkan 20 karya tempatan dan antarabangsa yang boleh disaksikan mulai 25 Februari ini.

Jumlah itu bertambah berbanding acara tahun lalu yang mengetengahkan 18 karya.

Selain Malaysia, negara yang mengambil bahagian dalam edisi kedua MIFFest ini ialah dari Hong Kong, Perancis, China, Taiwan, Afghanistan, Iran, Korea Selatan, Indonesia dan Russia.

Sidang media MIFFest, kelmarin turut mengumumkan barisan juri acara selama enam hari itu yang akan diketuai pengarah hebat Brillante Mendoza.

Lima juri lain ialah pengarah Tran Anh Hung, pembikin filem Patrick Tam, produser Taiwan Lee Lieh, pelakon terkenal India Suhasini Maniratnam dan karyawan terkenal tanah air, Dain Said.

Tahun ini, MIFFest mahu menumpukan promosi filem membabitkan generasi muda dengan menganjurkan jelajah di institusi pengajian tinggi.

Filem MIFFest boleh disaksikan di pawagam TGV Cinemas, Suria KLCC mulai 25 Februari ini dan tiket boleh dibeli menerusi laman web Ticket Charge.

Maklumat lanjut boleh layari www.mgga.com.my dan www.miffest.com.my.

Acara sulung MIFFest pada 28 Februari tahun lalu menyaksikan lebih 10,000 pengunjung, manakala, malam kemuncak MGGA yang berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands pada 5 Mac dihadiri 5,600 penonton.

KATEGORI MGGA 2018

Filem Terbaik

• A Letter To The President

• Angels Wear White

• Blockage

• Pop Aya

• The Great Buddha

Pengarah Terbaik

• Jae Rim Han

• Kamilia Andini

• Mohsen Gharaei

• Su Won Shin

• Vivian Qu

Pengarah Baru Terbaik

• Huan Hsin Yan

• Kantemir Balagov

• Kristen Tan

• Roya Sadat

• Tan Seng Kiat

Filem Layar Terbaik

• A Letter To The President

• The Great Buddha

• Pop Aye

• Blockage

• Angel Wear White

Sinematografi Terbaik

• The Seen and Unseen

• Angel Wear White

• Shuttle Life

• The Great Buddha

• Missing Johnny

Pembantu Pelakon Wanita Terbaik

• Angel Chan

• Ayu Laksmi

• Darya Zhovnar

• Gity Ghasemi

• Zhou Meijun

Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik

• Artem Cipin

• Huang Yuan

• Jack Yap

• Leon Dai

• Nader Fallah

Pelakon Wanita Terbaik

• Daphne Low

• Geunyoung Moon

• Leena Alam

• Sylvia Chang

• Vicky Chen

Pelakon Lelaki Terbaik

• Bamboo Chen

• Hamed Behdad

• In Sung Jo

• Jack Tan

• Thaneth Warakulnukroh

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 3:27am
d