rap

Belum puas berlakon

Oleh Nor Akmar Samudin

Pelakon yang bekerja keras mencari tapak dalam dunia lakonan tanah air, Natasya Mayan, 25, pernah bertanya kepada dirinya sendiri, apakah patut minat berlakon diteruskan?

Persoalan itu sering berlegar dalam mindanya bukan kerana putus asa cuma apabila dia berasakan perjalanan seninya perlahan, hatinya tertanya-tanya adakah betul langkahnya memilih kerjaya seni.

Namun, pada masa sama Natasya berasakan belum masanya lagi untuk dia mengundur diri dari dunia lakonan kerana banyak lagi watak belum dicubanya.

“Saya mahu lakonan meninggalkan kesan kepada penonton dan terus terang belum puas berlakon. Dengan kemunculan ramai pelakon, saya mesti berusaha untuk menonjolkan diri.

“Trend terkini, pengarah drama mencari mereka yang aktif di media sosial dan berapa jumlah ‘follower’ di Facebook dan Instagram yang mereka ada tetapi saya tidak begitu ‘mesra’ media sosial.

“Selain itu, gosip dan kontroversi juga antara cara untuk menaikkan nama seseorang pelakon tetapi saya bukan jenis artis yang akan mencari publisiti dengan cara murahan,” katanya.

Natasha sebenarnya tidak bersendirian dalam mengaturkan kerjaya seninya kerana dia sekarang di bawah pengurusan Kotak Case Management (Instagram: kotakcase).

Dia kini berlakon dalam drama Yes Sir Nak Ke Mana. Drama 30 episod untuk siaran HyppTV itu turut dilakonkan Shazwan Hassan dan Aisya Hasnaa.

Dalam drama itu, Natasya adalah setiausaha kepada Shazwan dan menyukai karakternya yang ‘gila-gila’, gedik dan syok sendiri.

“Meskipun momentum kerjaya lakonan belum begitu menjadi seperti apa diimpikan, adalah juga ruang untuk saya mempamerkan bakat dan pengurusan juga tidak pernah berhenti mencarikan peluang,” katanya.

Natasya yang juga lulusan kejuruteraan daripada Universiti Tenaga Nasional sudah bersedia andai suatu hari nanti dia terpaksa menggunakan ilmu yang dituntut sekiranya usaha menjadi pelakon terkenal dan disegani tidak berhasil.

“Saya cuba dulu berlakon, kalau ada rezeki, adalah,” katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 3:32am
d