rap

'Menarik tapi tak mencabar'

Oleh Nor Akmar Samudin

Meskipun tampil dalam dunia lakonan tanah air dengan pakej lengkap dan berlatar belakang pengalaman sebagai model, Shuadda Nasir, 25, tetap gementar kerana langkahnya di pentas lakonan baru bermula.

Sebelum ini, Shuadda aktif berlakon iklan komersial dan selepas lima tahun dalam bidang peragaan, dia mahu menambah satu lagi portfolio dalam kerjayanya.

Berkenalan dengan pemilik syarikat pengurusan Kotak Case Management, Tim beberapa tahun lalu memberi semangat kepadanya untuk bergelar pelakon. Berdasarkan persahabatan yang kian lama terjalin itu, langsung Shuadda bersetuju menjadi artis syarikat itu.

“Saya belum boleh bergerak sendiri dan tidak begitu kenal serta tidak akrab dengan penggiat seni. Jadi dengan adanya orang yang menguruskan kerja, tidaklah saya berasa asing,” katanya.

Shuadda baru pulang dari Vietnam kerana menjalani penggambaran drama lakonan pertamanya di negara itu berjudul Ai Dari Saigon.

“Pengalaman yang cukup menarik kerana dapat berlakon di luar negara. Drama 13 episod itu akan disiarkan RTM. Memegang peranan sebagai Dr Hannan, namun watak berkenaan belum cukup mencabar kemampuan saya.

“Ada banyak babak, namun rasanya bakat lakonan saya belum cukup teruji. Mungkin saya kena bawakan watak jahat yang dibenci penonton barulah mereka akan ‘membuka mata’ terhadap penampilan di kaca TV.

“Berlakon tidak semudah berjalan di pentas ‘catwalk’ dengan melangkah sambil melemparkan senyuman kepada penonton. Namun, saya akan buktikan boleh berlakon dan memberikan aksi terbaik,” katanya.

Shuadda atau nama sebenarnya, Nor Shuhada Nasir juga terbabit dalam penggambaran program Pecah Perut iaitu sketsa berkonsepkan program Jangan Ketawa yang popular pada 1990-an.

“Saya lebih seronok berlakon komedi kerana karakter yang ‘happy go lucky’. Lagi banyak benda yang mencabar kerana bukan senang nak buat orang ketawa,” katanya.

Kata gadis kelahiran Ipoh ini, dia juga pernah menari dalam satu filem terbitan luar negara dan bercita-cita untuk menjadi penyanyi.

Disiarkan pada: January 11, 2018 @ 3:41am
d