rap

Imbau kegemilangan pop yeh yeh

Oleh Najiy Jefri

Apabila bercakap mengenai zaman 1960-an, mesti akan terbayang pakaiannya, kaca mata hitam, Vespa dan muzik pop yeh yeh.

Sehingga kini lagu 60-an terus menjadi ‘evergreen’. Ia kekal segar dan diminati ramai tidak kira peringkat usia.

Bagi mengembalikan semula kenangan dan nostalgia lagu yang

pernah mendapat tempat dalam kalangan pendengar suatu masa dahulu, Persatuan Karyawan 60-an Pop Yeh Yeh Negeri Sembilan cuba mengambil inisiatif bagi mengimbau kembali zaman kegemilangan genre itu kepada generasi masa kini menerusi konsert dinamakan Konsert Amal Sepetang Bersama Artis 60-an.

Acara yang bakal berlangsung pada 27 Januari ini di Klana Resort, Seremban itu adalah sebagai usaha untuk membangunkan dan merapatkan silaturahim antara karyawan dengan peminat seni.

Lebih menarik, konsert yang bakal bermula jam 2 petang itu akan dihiburkan dengan penyanyi 60-an seperti Datuk A Rahman Hassan, J Sham, Rodziah Latif, Afidah S dan A Rahman Onn.

Pengerusi Persatuan Karyawan 60an Pop Yeh Yeh Negeri Sembilan, Md Jamil Aris berkata, sebahagian meja yang dijual bakal diagihkan kepada badan memerlukan khususnya Pusat Pengajian Taman Al-Quran, Rembau, Negeri Sembilan dan Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor.

“Selain itu, meja dijual juga akan membantu penyanyi 60-an yang memerlukan bantuan.

“Saya harap penganjuran konsert ini akan mengembalikan muzik 60-an dan mendekati golongan muda terhadap muzik yang pernah mencetuskan fenomena dulu,” katanya.

Menurut Jamil, program ini bertujuan mengangkat dan mengimbau kembali zaman 60-an yang sangat istimewa baginya kerana di situlah kehalusan perasaan seni orang Melayu boleh dilihat.

Selain hiburan, peminat yang hadir juga berpeluang memenangi hadiah istimewa dalam acara cabutan bertuah.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 3:18am
d