rap

Kupas hak pengguna

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Program bual bicara 1 Pengguna 1 Suara dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDPNKK) yang bersiaran setiap Sabtu jam 9 malam di TV1 berjaya mendapat perhatian pengguna sejak mula bersiaran akhir tahun lalu.

Ini terbukti selepas banyak maklum balas diterima daripada penonton yang berpendapat program itu berjaya memberi maklumat jelas mengenai isu berkaitan kepenggunaan.

Produser program Romzi Zulkefli berkata, biarpun program itu kedengaran serius, cara penyampaian santai oleh dua pengacara Luqman Hakim Malik dan Heliza Helmi berjaya menarik perhatian.

“Program ini menyasarkan pengguna yang sentiasa ingin tahu mengenai hak mereka sebagai pengguna dan cara menyelesaikan permasalahan harian.

“Melalui tetamu terdiri daripada penguat kuasa KPDNKK, usahawan, pengguna, persatuan pengguna malah selebriti tempatan, ia membantu pengguna dan peniaga untuk lebih memahami bidang kuasa KPDNKK dan hak pengguna,” katanya.

Program bersiaran 20 episod ini bukan sekadar mengupas isu semasa malah turut disuntik elemen komersial dan majalah.

Antaranya, segmen khas seperti Ayu Oh Ayu - sebuah sketsa komedi pendek mengenai topik terpilih, Apa Kata Pengguna - maklum balas mengenai topik perbincangan dan Operasi - aktiviti penguatkuasaan pasukan penguat kuasa KPDNKK.

Selain itu, Buletin KPDNKK - berita semasa dan aktiviti KPDNKK dan Tips Pengguna - perkongsian tip serta petua menarik untuk pengguna.

Bercakap mengenai topik perbincangan, 1 Pengguna 1 Suara mengupas isu seperti Tanda Harga, Jualan Murah, Wang Haram, Penipuan Umrah, PM Tepi, Rasionalisasi Subsidi, Cetak Rompak dan Wang atau Nyawa.

Tetamu selebriti antaranya Ahmad Idham, Fadzil Zahari, Mac Ruhayu, Fizo Omar dan Bella Zahir.

Melihat pada sambutan menggalakkan daripada penonton di TV1, program terbitan Mel Corporation Sdn Bhd ini dirancang untuk diteruskan pada musim kedua selepas tamat siaran musim pertama awal April depan.

Disiarkan pada: January 13, 2018 @ 3:30am
d