rap

'Saya tiada masalah dengan Azhael'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Hael Husaini, 30, yang kini muncul solo dan popular dengan lagu Jampi akui tiada masalah menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan ketika bersama duo Azhael.

Persoalan itu timbul selepas Hael menyanyikan lagu Hujung Waktu pada sesi Showcase Finalis Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) di Festival Gegaria, Sabtu lalu.

Hael atau Hal Husaini Razmi berkata, dia menyanyikan lagu itu atas permintaan.

“Kalau nak tahu, lagu Hujung Waktu antara lagu kegemaran saya ketika bersama Azhael. Saya tiada masalah atau sebarang isu pun menyanyikan lagu Azhael.

“Selepas berpecah, kami tak ada masalah menyanyikan mana-mana lagu Azhael untuk persembahan masing-masing,” katanya kepada Harian Metro.

Kenyataan itu sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak yang mendakwa Hael enggan dikaitkan dengan kumpulan yang dianggotai bersama Mohd Azhar Osman sejak mengumumkan bergerak solo pada 2 Februari 2017.

Kata Hael, dia tidak menolak untuk bekerjasama dengan bekas rakan duonya pada masa akan datang.

“Azhael tetap menjadi sebahagian daripada diri saya yang akan dibawa sampai bila-bila. Azhael juga banyak memberi pengalaman untuk saya berdiri sebagai artis solo.

“Alhamdulillah, lagu Azhael masih diingati sehingga sekarang. Saya tiada masalah dalam sebarang bentuk kerjasama pada masa akan datang,” katanya.

Berjaya ke AJL32 buat kali pertama menerusi lagu Jampi, kata Hael dia cuba sedaya upaya untuk memberikan persembahan terbaik pada 11 Februari ini.

“Saya memang tidak pernah jangka lagu ini akan jadi sebesar ini dan memberi impak besar dalam kerjaya saya sepanjang tahun lalu.

“Untuk AJL32 nanti, saya cuba sedaya upaya lakukan yang terbaik. Saya tidak fikir untuk menang, tetapi lebih fokus kepada persembahan untuk mereka semua yang membantu 'menjampi' bersama saya sepanjang tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 12:55pm
d