rap

Komedi Asia ke persada dunia

Oleh Michelle Gun

Peneraju utama perkhidmatan hiburan Internet, Netflix melancarkan program komedi tempatan pertama dengan menampilkan pelawak terkenal Harith Iskandar.

Program berjudul I Told You So itu dihasilkan khas bagi penonton Asia Tenggara menyaksikan Harith mempersembahkan lawak yang pasti membuat penonton ketawa tidak kering gusi.

Pelawak berusia 51 tahun itu akan menyentuh pelbagai topik menarik antaranya kekeluargaan, pengalaman janggal pasangan sedang bercinta, isu sosial dan budaya yang sering dialami masyarakat di Malaysia serta Singapura.

Harith menerusi kenyataan medianya, beritahu dia rasa bertuah muncul pelawak pertama tanah air dalam penerbitan asli program Netflix.

“Saya gembira dapat memperkenalkan komedi Asia ke persada dunia. Netflix mempunyai jumlah penonton tinggi dari seluruh dunia. Itu antara sebab saya tertarik untuk bekerjasama dengan Netflix,” katanya.

Kata Harith, Netflix terbuka dalam menerima cita rasa jenaka berbeza daripada komedi yang biasa dipaparkan di televisyen.

Ketua Rancangan Asli Antarabangsa, Asia Netflix Erika North berkata perkhidmatan itu berkembang pesat dan mengukuhkan lagi kedudukannya di Asia sejak dilancarkan di 190 negara dua tahun lalu.

Selain Harith, Netflix turut menampilkan persembahan pelawak Singapura, Fakkah Fuzz dan pelawak Malaysia, Kavin Jay ke pentas dunia.

“Netflix mahu memperbanyakkan lagi kandungan antarabangsa dengan menampilkan karya asli dan berkualiti dari rantau Asia,” katanya.

Menurut North, buat masa sekarang, Netflix dalam perancangan menghasilkan program baru di 15 negara Asia.

“Antaranya Jepun, Korea, India, Thailand, Indonesia dan Taiwan tahun ini. Kami teruja dapat mempersembahkan program komedi asli dari Asia kepada penonton tempatan.

“Selain itu, kami berbesar hati dapat memperkenalkan anak seni berbakat besar seperti Harith, Fakkah dan Kavin kepada penonton Netflix di seluruh dunia,” katanya.

North berkata, selebriti itu diberi kebebasan berkarya menerusi platform yang disediakan kepada mereka.

Program I Told You So akan bersiaran pada 19 Januari diikuti program komedi Fakkah, Almost Banned pada 26 Januari.

Penonton juga bakal menyaksikan persembahan Kevin menerusi program Everybody Calm Down! pada 2 Februari.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 2:09pm
d