rap

Zulin maafkan wanita yang 'menyerangnya'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYAMPAI radio, Zulin Aziz, 28, menerima permohonan maaf individu yang ‘menyerang’ dirinya dengan kata-kata keterlaluan seperti sundal dan ayat berbaur fitnah di laman Facebook miliknya.

Wanita dikenali sebagai Dura Hatta memuat naik permohonan maaf secara terbuka di Facebooknya apabila dituntut peguam mewakili Zulin, Sabtu lalu.

Kata Zulin, selepas peguamnya keluarkan surat permohonan maaf secara terbuka, suami wanita itu menghantar mesej secara peribadi dan meminta maaf bagi pihak isterinya.

“Seperti mana dituntut, wanita itu perlu melakukan permohonan maaf di mana-mana laman sosial miliknya. Akhirnya dia akur tetapi status berkenaan dipadam tidak lama selepas itu.

“Saya sempat membuat paparan skrin dan memuat naik di laman sosial milik saya sebagai bukti dia bersalah dan meminta maaf. Jadi, saya anggap perkara ini sudah selesai,” katanya kepada Harian Metro.

Perkara itu tercetus berikutan kenyataan Zulin dalam akhbar ini mengakui tidak kisah jika dipertemukan jodoh dengan suami orang.

Kenyataan Zulin dalam artikel Zulin Tidak Kisah Bermadu itu dianggap serius segelintir netizen termasuk wanita terbabit sehingga melemparkan kata-kata nista buatnya.

“Bagi saya ini pengajaran untuk semua netizen agar tidak sesuka hati menuduh, mengata dan memfitnah seseorang.

“Saya kalau boleh tidak mahu lagi memanjangkan isu ini memandangkan dia sudah meminta maaf. Saya juga tidak ada sebarang urusan dengannya. Harap, tidak ulangi perkara sama,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 7:56pm
d