rap

Mustaine mahu Metallica punah

Oleh Susunan Esme Johari Wahab/Teks Blabbermouth

DAVE Mustaine mengatakan matlamat asalnya menubuhkan kumpulan Megadeth adalah untuk ‘memusnahkan Metallica.’

Mustaine menganggotai Metallica tidak sampai dua tahun iaitu 1981 hingga 1983, sebelum disingkir dan digantikan oleh gitaris, Kirk Hammett.

Dia kemudian menubuhkan Megadeth yang mencapai kejayaan global dengan caranya tersendiri.

Mustaine bertelagah dengan anggota Metallica selama lebih dua dekad sebelum kembali mesra sejak beberapa tahun lalu.

Malah dia juga mengadakan persembahan dan ‘jammed’ dengan bekas anggota kumpulannya itu dalam persembahan Big Four dan konsert anniversary 30 tahun Metallica pada 2011.

Seorang peminat yang bertanya di Twitter mengenai bagaimanakah ukuran kejayaannya sewaktu memulakan Megadeth dan matlamatnya bersama kumpulan itu Dave membalas:

"Ukuran kejayaan saya adalah sama ada saya makan atau tidak hari itu dan matlamat saya adalah untuk memusnahkan Metallica dan tidak lagi tinggal di dalam van.

“Perkara baik mengenainya adalah saya dapat mengatasi permusuhan dengan meninggalkan kumpulan itu. Saya gembira berbaik semula. Mana persembahan Big 4???"

Pada Mei 2012, Mustaine meminta maaf kepada vokalis dan gitaris Metallica, James Hetfield kerana membuat kenyataan terbuka mengenai hasrat Dave mahu mewujudkan ‘supergroup’ menggabungkan Mustaine serta pemain gitar bass Megadeth, David Ellefson bersama Hetfield dan pemain dram Metallica, Lars Ulrich.

Hetfield mentertawakan kolaborasi kemungkinan antara anggota kumpulannya dan anggota Megadeth malah dalam satu temu ramah James menganggap apa diperkatakan Mustaine sebagai ‘gila’.

Hetfield memberitahu majalah peminat Metallica So What!: "Saya melihat Mustaine lebih sihat sekarang. Saya melihatnya tidak lagi terlalu kurang mesra. Apapun saya ada melihat dan membaca banyak benda dalam akhbar kenyataan dikeluarkannya mahu jamming bersama kami dan merakam album.

Semua benda difikirkannya gila. Saya membaca dan berkata kepada diri sendiri, 'Tunggu dulu. Ini adalah Dave yang kami mahu lupakan. Awak tahu, si mulut celupar yang hanya mahukan cepat, cepat, cepat."

Hetfield menambah: "Bagaimanapun ada kesahihan setiap apa diperkatakan setiap kali dia bercakap. Dia tidak berfikir sebelum melakukannya. Dia hanya melakukannya secara spontan. Lagipun, setiap kali dia berkata begitu, dia memang berniat begitu."

Mustaine baru baru ini mendedahkan perbalahan terhadap hak pencipta lagu terutamanya pengumuman versi lanjutan demo kaset Metallica 1982 bertajuk No Life 'Til Leather.

Ketua kumpulan Megadeth itu mengirimkan Twitter dia dihubungi oleh Hetfield dua tahun lalu mengenai rilis rasmi No Life Till Leather membabitkan 27 track lagu, gambar dan sebagainya tetapi semuanya gagal disebabkan Lars mahukan dua lagu saya tulis. Saya masih menyimpan teks itu. Saya akan berikan."

Mustaine tidak disenaraikan dalam Rock And Roll Hall Of Fame bersama Metallica pada majlis berlangsung pada April 2009 di Cleveland, Ohio.

Ulrich kemudian menjelaskan kepada The Plain Dealer mengatakan Mustaine "tidak bermain dalam mana mana rakaman Metallica. Bukanlah bermakna tiada hormat kepadanya. Waktu itu terdapat lebih setengah dozen dalam kalangan anggota. Kami anggap perkara paling adil adalah menyenaraikan siapa saja bermain untuk rakaman album Metallica.

Lars menambah: "Dave Mustaine berada dalam kumpulan itu selama 11 bulan terutamanya pada 1982. Saya bukan tidak mahu memperbesarkannya. Saya tiada apa hendak kata melainkan rasa hormat dan mengagumi pencapaiannya sejak itu."

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 9:22pm
d