rap

Salman Khan diugut bunuh

Oleh Nor Akmar Samudin

Nyawa Salman Khan dalam bahaya apabila gengster Rajasthan, Lawrence Bishnoi beberapa hari lalu mengancam membunuhnya di Jodhpur.

“Salman akan dibunuh di sini (Jodhpur) dan baru dia akan tahu identiti kita yang sebenar,” tegas gengster itu ketika dibawa ke mahkamah Jodhpur dengan kawalan polis yang ketat.

Walaupun Salman sudah pulang ke Mumbai untuk menyambung penggambaran filem Race 3 dengan Jacqueline Fernandez, dia masih diugut.

Menurut laporan Mumbai Mirror, Rabu lalu polis datang ke lokasi penggambaran filem Race 3 di Film City dan meminta penerbitnya, Ramesh Taurani menghentikan segera penggambaran manakala Salman mesti pulang ke kediamannya secepat mungkin.

Pelakon itu juga dinasihatkan tidak berbasikal di sekitar bandar dan dilarang memaklumkan pergerakannya di laman sosial.

Menurut seorang pegawai polis kanan Mumbai, mereka mengambil serius ugutan Lawrence dan akan memberi kawalan keselamatan maksimum kepada Salman.

“Kami juga menyiasat motif Lawrence di sebalik ugutan itu,” kata pegawai polis itu.

Ancaman bunuh Lawrence terhadap Salman dipercayai berkaitan dengan satu kes pembunuhan pada 1998 apabila Salman dan rakannya dituduh terbabit.

Mereka yang menyokong Lawrence mahu Salman didakwa dan sejak itu mereka menganggap pelakon Bollywood terbabit sebagai penjahat.

Sementara itu, bapa Salman, Salim Khan berkata, ini bukan kali pertama Salman diugut.

“Dalami industri hiburan ini, ramai yang mendapat ancaman seperti itu. Kami tidak akan mengambil tindakan undang-undang dan hanya akan pastikan keselamatan Salman.

“Dia akan bekerja seperti biasa,” kata Salim yang juga seorang pelakon dan penulis skrip terkenal.

Disiarkan pada: January 16, 2018 @ 3:23am
d