rap

Saksikan lumba kereta selebriti

Oleh Syanty Octavia Amry

Medini City di Iskandar Puteri, Johor Bahru akan dimeriahkan dengan barisan ramai selebriti hujung minggu ini.

Ia bersempena festival perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) dalam mempamerkan Perlumbaan Vios Challenge yang menampilkan lapan selebriti terkenal termasuk Fattah Amin, Shukri Yahaya, Janna Nick dan Diana Danielle.

Mereka semua sudah menunjukkan kemahiran memandu yang sangat baik ketika mengendalikan jentera lumba Toyota Vios masing-masing setakat ini.

Mereka akan disertai selebriti lain seperti penyanyi Geraldine Gan, Danny Koo, beatboxer Shawn Lee dan model Venice Min yang turut sama berlumba hujung minggu ini.

Selama dua hari bermula Jumaat ini, semua selebriti akan membuat penampilan di pekarangan festival untuk bertemu peminat.

Mereka akan menurunkan tandatangan, mengambil gambar dan mengagihkan cenderahati. Tidak ketinggalan, mereka juga akan membuat persembahan di pentas utama pada setiap petang.

Turut sama menyertai mereka ialah barisan selebriti daripada siri Drama Sangat dengan bas jelajah Media Prima.

Mereka ialah Nazrief Nazri, Intan Najwa, Adiba Yunos, Aishah Azman, Raja Afiq, Ruhainies, Zie Zainal dan Aliff Asraff.

Tidak ketinggalan, penampilan watak superhero Ejen Ali bersama Comot sepanjang dua hari festival berlangsung.

Jangan ketinggalan untuk hadir dan memeriahkan festival perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) ini.

Orang ramai dijemput memeriahkan aktiviti disediakan. Tidak ketinggalan, acara aksi perlumbaan, trak makanan dan pertunjukan lagak ngeri.

Masuk adalah percuma sepanjang acara ini. Ia akan bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir pada jam 6.30 petang.

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan terkini berkaitan Vios Challenge, lawati laman rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia atau ikuti akaun Instagram dan Facebook.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 2:12am
d