rap

Rezeki tahun baru

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bermula sebagai penyanyi bersama Sweet Child, kemudian dia melebarkan sayap sebagai pelakon dan seterusnya pelawak. Bakat seni Acong tidak terhenti di situ saja kerana turut berkebolehan mengacara.

Tidak hairanlah, bakat anak seni yang juga pemilik nama sebenar, Ahmad Fauzi Manat, 44, ini diterima baik dan mampu bertahan dalam industri seni tanah air.

Terbaru, Acong kini ditawarkan mengacara program Teka Tekan yang bersiaran menerusi HyppSensasi (Saluran 116) Unifi TV pada setiap Isnin hingga Jumaat.

Program berkonsep kuiz yang menampilkan lima soalan dan hadiah wang tunai RM20,000 ini bermula pada Isnin lalu.

“Program ini dibuat secara langsung selama setengah jam bermula pada jam 8.30 malam dan menampilkan empat pengacara iaitu saya, Farouk Hussain, Anas Ridzuan dan Shuib.

“Setiap episod hanya menampilkan dua pengacara dan giliran kami ditentukan bergantung kepada jadual masing-masing,” katanya.

Menurutnya, soalan yang diberikan tidaklah begitu sukar dan jumlah pemenang juga tidak terhad hanya kepada seorang saja dalam setiap episod.

“Kalau sekiranya tiada pemenang pada Isnin, wang ini dibawa pada hari berikutnya pula. Jika sekiranya dalam satu episod ada lima pemenang, wang itu akan dibahagikan sesama mereka.

“Menariknya, sesiapa yang pernah menang tidak dihalang mengambil bahagian pada hari berikutnya,” katanya.

Acong berkata, tawaran mengacara Teka Tekan diterima sejak sebulan lalu untuk tempoh setahun dan ia dianggap rezeki tahun baru.

“Saya sebenarnya rindu untuk kembali mengacara. Jika ada yang ingat, saya dulu banyak tampil di RTM sebagai pengacara.

“Selain menyanyi, saya juga kerap ditawarkan mengacara pelbagai program di luar dan ia bukanlah benda baru buat saya,” katanya.

Biarpun mengacara, tidak bermakna Acong meminggirkan bidang lakonan dan nyanyian kerana ia tetap menjadi fokus utamanya.

“Saya ada terikat dengan drama, tapi penerbitnya sangat memahami dan bersedia melepaskan saya untuk program ini. Lagipun Teka Tekan hanya pada sebelah malam.

“Saya juga baru selesai penggambaran program travelog dan boleh dikatakan jadual saya sangat padat. Ini semua adalah rezeki,” katanya.

Menurutnya, komitmen pada Sweet Child tetap berjalan dan mereka kini terbabit dengan rakaman single baru yang dikendalikan Along Exist.

“Kami akan buat kelainan dengan tampilkan lagu berkonsep rancak berbanding single terdahulu yang agak perlahan,” katanya.

Dalam pada itu, Acong turut menceburi bidang perniagaan dan produk makanannya diterima baik oleh peminat di Singapura.

“Pada tahun ini, saya utamakan bisnes dan banyak terbabit dengan ekspo di sana. Isteri saya, Marya yang juga pengurus, sudah menyusun jadual saya untuk persembahan dan terbabit dalam ekspo.

“Saya hanya mengambil tawaran berlakon projek telefilem dan bukannya drama bersiri kerana perlu fokus pada perniagaan. Tujuannya agar peminat tak lupa kewujudan saya dalam bidang seni,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 2:14am
d