rap

Tiada dendam di hati

Oleh Nor Akmar Samudin

Selepas dua kali perkahwinannya gagal dipertahankan, Sabrina Ali, 37, semakin matang menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kepada tiga cahaya mata, Ariyana, 11, Syed Aryan Khan, 7 dan Syed Adrian Khan, 5.

Walaupun tercatat pelbagai kenangan dengan dua bekas suami, namun Sabrina tetap berbaik dengan mereka. Tiada rasa marah atau dendam di hati, malah mereka juga tidak pernah berebut atau bersengketa mengenai hak penjagaan anak.

Begitu juga dengan nafkah anak, Sabrina tidak pernah turun naik mahkamah untuk menuntut hak mereka, terpulang kepada bapa mereka untuk memikirkannya sendiri.

Bagaimanapun, jika amat memerlukan, Sabrina akan meminta dengan mereka.

Sabrina mendirikan rumah tangga dengan Shahrin Mohd Abdul Halim pada Mei 2006 dan berpisah pada pertengahan 2010.

Perkahwinan keduanya dengan Syed Amirul Syed Ahmad berlangsung pada 2011 dan mereka bercerai empat tahun kemudian.

“Saya juga tidak meletakkan peraturan tertentu untuk Shahrin atau Amirul berjumpa dengan anak mereka. Walaupun sudah berpisah dengan bapa mereka, saya mahu anak menjalani kehidupan seperti biasa tanpa ada kekurangan terutama kasih sayang ibu bapa. Saya sentiasa berfikiran positif dan tak suka bergaduh.

“Tidak adil untuk membebankan hidup mereka dengan kisah silam ibu bapa mereka. Walaupun berlainan bapa, mereka bertiga sangat rapat dan ada ketika apabila Shahrin mahu bawa Ariyana berjalan-jalan, dia akan bawa ketiga-tiganya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Sabrina tidak menafikan selepas empat tahun hidup bersendirian terdetik juga di hatinya mahu berteman semula, namun kali ini dia mesti memikirkan sedalam-dalamnya sebelum bergelar isteri kembali.

“Jika sebelum ini, mungkin saya lebih banyak mendengar kata hati, tetapi sekarang saya perlu memikirkan setiap sudut. Lelaki itu bukan saja akan menjadi suami saya, tetapi juga bapa kepada ketiga-tiga anak saya.

“Saya juga mahu rumah tangga yang bakal dibina nanti berkekalan selamanya. Cukuplah dua kali bercerai,” katanya.

Tak pernah ajar anak bermewah-mewah

Sejak dulu, Sabrina sangat memilih watak. Walaupun ia cuma watak kecil, jika ada kelainan dia sedia menerimanya.

Terbaru, Sabrina berlakon dalam filem Makrifat Cinta dan KL Special Force. Kedua-dua peranannya dalam filem itu berbeza.

“Saya tak kisah berlakon dalam dua atau tiga babak saja asalkan watak itu menarik. Saya juga tak suka melakonkan watak diri sendiri, saya mahu jadi orang lain kerana sukakan cabaran.

“Pernah dalam satu drama saya berlakon watak wanita yang lemah-lembut budi bahasa dan tutur kata. Punyalah seksa, tetapi saya suka,” katanya.

Sabrina yang juga anak saudara penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam mengakui jarang berlakon dalam drama atau filem terbitan Skop Productions milik bapa saudaranya itu.

“Walaupun kami bersaudara, kami bekerja atas landasan profesional. Jika ada watak yang sesuai barulah saya ditawarkan berlakon. Saya juga lebih suka berdikari dan sentiasa mahu cuba perkara baru,” katanya.

Menurut Sabrina, dengan sikapnya yang memilih naskhah lakonan, ada juga yang musykil, cukupkah perbelanjaan harian dan makan minumnya?

“Saya hidup biasa-biasa saja dan tidak pernah ajar anak bermewah-mewah. Mereka bertiga juga dihantar ke sekolah tahfiz. Saya pakai apa yang ada, menggunakan beg tangan dan kasut yang sama sehinggalah rosak baru diganti baru. Saya juga tidak bersolek melainkan jika ada acara yang perlu dihadiri. Alhamdulillah, rezeki yang ada cukup untuk kami empat beranak,” katanya.

Sabrina ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk wangian baru-baru ini.

Dia bersetuju dengan pelantikan itu kerana bau wangian itu belum ada di pasaran.

“Saya tak mahu wangian yang sama saja baunya. Saya juga mahukan wangian yang tahan lama dan buat masa ini pewangi dikeluarkan satu jenis dulu. Saya akan turun di semua lokasi promosi di seluruh negara untuk bertemu pengguna di sana,” katanya.

Disiarkan pada: January 17, 2018 @ 2:21am
d