rap

'Buang masa fokus lakonan'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Masih ramai yang terhibur dan tidak kering gusi menonton filem Anak Mami The Movie lakonan Farouk Hussain yang diterbitkan pada 2002.

Bagaimanapun, kelibat Farouk yang hanya sesekali muncul dalam drama membuatkan ramai tertanya-tanya ke mana perginya anak seni yang turut mencipta nama sebagai pengacara itu.

Ditemui baru-baru ini, Farouk, 51, mengakui masih aktif mengacara terutama acara makan malam.

Bagaimanapun, dia mengakui kurang minat berlakon kerana serik dengan ‘permainan’ industri hiburan yang disifatkan masih di takuk lama.

“Saya kembali berlakon tahun lalu dalam drama Dia dan Cinta Koko Coklat. Tawaran ini saya ambil kerana jadualnya yang fleksibel dan watak yang mudah tanpa memerlukan banyak baju.

“Ia hanya memerlukan saya pakai uniform pemandu dan ia lebih mudah. Saya kena ambil kira kalau bajet kecil, takkanlah nak keluarkan kos sendiri untuk beli baju. Nak harapkan tajaan belum tentu ada,” katanya.

Farouk berkata, meskipun negara sudah maju, bayaran untuk pelakon masih rendah dan kadangkala amat mengecewakan.

“Begitu juga dalam aspek penghargaan kerana budaya ini kurang dititikberatkan. Contohnya artis yang lebih lama daripada saya. Kalau ikut cara Barat, lagi lama berlakon, bayaran makin mahal tetapi di sini sangat berbeza.

“Orang lama diberikan bayaran rendah dan watak yang ditawarkan bukan lagi penting sedangkan mereka sangat hebat. Bagi saya, hanya buang masa jika mahu fokus berlakon,” katanya.

Menurutnya, semua pihak bercakap berkenaan misi ke depan tetapi perkara itu tidak akan berlaku sekiranya industri tidak berubah.

“Saya ditawarkan bayaran seperti era 80-an dan 90-an. Bayangkan pelakon yang lebih veteran, berapakah harga yang mereka dapat?

“Daripada buang masa, baiklah saya mengacara kerana harganya stabil dan tak turun. Penganjur sangat menghargai kebolehan saya dan meletakkan nilai yang selayaknya,” katanya.

Paling mengujakan penganjur turut memberikan pelbagai keistimewaan lain termasuk bilik hotel untuk berehat dan makanan yang sesuai.

“Saya bukan minta tapi inilah yang dinamakan penghargaan terhadap bakat saya. Ia sangat berbeza jika kita berada di lokasi penggambaran.

“Saya sebenarnya sukar nak kata ia salah penerbit atau stesen TV kerana faktor bajet memainkan peranan penting dalam perkara ini,” katanya.

Farouk berkata, harga barangan keperluan semakin lama semakin meningkat tetapi bayaran untuk mereka tetap sama, malahan ada yang semakin menurun.

“Saya berani bercakap kerana ia adalah kenyataan. Tak perlu ada yang sensitif kerana semua pelakon bercakap benda sama.

“Hakikatnya keringat yang dikeluarkan dibayar dengan harga tak setimpal. Tapi kalau nak salahkan produksi pun tak boleh juga kerana bajet mereka agak terhad. Mereka ikut kehendak stesen TV yang mahukan pelakon yang boleh menaikkan rating. Penilaian pula dibuat menerusi media sosial artis itu,” katanya.

Menurutnya, berikutan industri yang kurang bagus juga, dia tidak berminat menubuhkan syarikat produksi sendiri.

Farouk yang mencipta nama sebagai pengacara program Sinaran Pasport Kegemilangan di TV3 pada 1994 kini mengendalikan program kuiz Teka Tekan di saluran HyppSensasi (Saluran 116) Unifi TV setiap Isnin hingga Jumaat.

Dia bergandingan dengan tiga pengacara lain iaitu Acong Sweet Child, Anas Ridzuan dan Shuib.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 4:23am
d