rap

Nazeera bangkit cari kejayaan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Satu kepuasan apabila segala perancangan berjalan lancar. Begitulah perasaan pelakon Nazeera Sardi, 31, yang berjaya merealisasikan beberapa misi penting dalam hidupnya.

Pernah terpalit luka apabila kisah hubungannya dengan seorang artis lelaki berakhir, Nazeera menganggap ini ketentuan takdir dan berlapang dada dengan apa yang berlaku.

“Saya percaya apa yang berlaku ada hikmahnya. Untuk apa saya perlu bersedih kerana banyak lagi cabaran bakal ditempuh pada masa akan datang.

“Daripada melayan perasaan, lebih baik saya bangkit mencari kejayaan dalam hidup,” katanya bersemangat.

Nazeera yang sudah membintangi banyak drama antaranya Syurga Di Hujung Jalan berkata, dia gembira kerana terus menjadi pilihan ramai penerbit dan pengarah.

“Saya baru selesai penggambaran drama bersiri Sentuh Hati Eryna arahan Zek Zukry dan sedang berbincang dengan beberapa penerbit lagi untuk tawaran selanjutnya.

“Seboleh mungkin saya mahu fokus dengan satu produksi dalam satu masa bagi mengelakkan jadual bertindih dan menyusahkan mana-mana pihak,” katanya.

Bercerita lanjut, Nazeera berazam mahu pencapaiannya pada 2018 lebih hebat berbanding tahun lalu.

“Sebelum ini saya mengikuti pengajian jarak jauh jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Putra Malaysia bagi memantapkan ilmu perniagaan.

“Syukur, sedar tak sedar saya bakal menamatkan pengajian tak lama lagi. Hanya tinggal dua semester lagi,” katanya.

Selepas berjaya membuka butik pakaian Zeyra Boutique di Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, Nazeera terus melebarkan langkah dalam dunia perniagaan apabila mengeluarkan produk penjagaan kulit beberapa bulan lalu.

“Produk ini menggunakan bahan organik terpilih dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Terima kasih kepada peminat yang menyokong.

“Insya-Allah, tiada masalah untuk saya fokus pada butik dan produk kecantikan,” katanya.

Dalam pada itu, Nazeera juga gembira kerana single pertamanya, Tetap Ada Cinta diterima baik peminat.

“Single ciptaan sepenuhnya Omar K dan Ikhwan Fatthana ini dikeluarkan tahun lalu di bawah naungan Warner Music Malaysia.

“Dengan sambutan positif peminat, saya rasa semakin bersemangat untuk mencipta nama sebagai penyanyi. Terima kasih buat peminat kerana sentiasa menyokong kerjaya seni saya,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 1:01pm
d