rap

Ogy 'gegar' artis baru

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kredbiliti artis tersohor tanah air, Fauziah Ahmad Daud dalam mengacarakan sesebuah program tidak perlu dipertikaikan.

Kecemerlangannya mengendalikan program Melodi suatu ketika dulu meletakkan Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy, 56, berada di kelas tersendiri selain dianggap sifu dalam kalangan pengacara baru.

Terbaru, Ogy dipilih mengacarakan program Huru Hara musim kedua yang bakal ditayangkan di saluran Hypp Inspirasi (Hypp TV) bermula 23 Januari ini.

Ogy yang sudah lebih 40 tahun berkecimpung sebagai anak seni berkata, dia menerima tawaran itu kerana konsep program yang santai selain diberi peluang menemu bual artis baru.

“Musim pertama program ini mereka menampilkan penyampai radio Era, Ray dan Hanif sebagai pengacara. Kali ini, saya difahamkan mereka memilih saya kerana inginkan seorang pengacara senior dan berpengalaman dalam industri untuk menemu ramah generasi baru.

“Jadi, pendekatan saya jauh berbeza daripada mereka. Pihak produksi pula memberi kebebasan untuk saya mengacarakan program ini. Namun, masih perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Sepanjang menjalani rakaman, saya seronok. Apatah lagi konsep program ini santai. Paling penting, saya dapat menemu ramah dan kenal artis baru. Sedikit sebanyak saya dapat belajar daripada mereka,” katanya.

Ogy yang juga pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28 berkata, menerusi program itu dia lebih ‘cool’ biarpun sebelum ini mendapat jolokan pengacara ‘mulut laser’ berikutan sering mengajukan soalan panas.

“Soalan diberikan biasa saja. Tidak ada yang panas atau keterlaluan. Saya tidak mahu menjatuhkan maruah seseorang dalam program yang ditayangkan.

“Saya bincang dengan penerbit soalan yang sesuai. Namun, tidak terlalu klise sebaliknya lebih kepada yang terkini. Sebagai pengacara, saya buat ‘homework’ mengenai tetamu jemputan.

“Diakui, ada artis jemputan yang takut dan gementar nak berjumpa saya, apatah lagi ditemu ramah. Jadi, sebelum sesi rakaman bermula, saya suka berborak dan selesakan diri dengan mereka,” katanya.

Ingin kelainan

Sementara itu, penerbit program, Siti Nurhazrah Hilme berkata, Hura Hara adalah program nombor satu di saluran terbabit.

“Alhamdulillah, sambutan musim pertama sangat bagus dan mencatat jumlah tontonan memberangsangkan. Disebabkan itu, kita teruskan musim kedua.

“Cuma, musim kali ini kami memilih pengacara berbeza iaitu Kak Ogy. Kami inginkan kelainan sesuai dengan pendekatan baru yang diperkenalkan.

“Kalau sebelum ini kita tengok pengacara baru menemu ramah artis lama, dalam program ini berbeza. Jadi, penonton boleh saksikan bagaimana Kak Ogy bertanya dan jawapan diberikan artis baru terbabit,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan tetamu jemputan, Nurhazrah berkata, ia tidak terhad kepada artis saja sebaliknya turut mengundang blogger dan Instafamous.

“Program ini adalah medium untuk pelakon dan penyanyi baru mengetengahkan bakat mereka, sekali gus mereka boleh mempromosikan produk terbaru kepada peminat.

“Kalau kebetulan artis berkenaan sedang hangat diperkatakan membabitkan kontroversi mereka, ia bonus untuk kami.

“Namun, semua tetamu yang dipanggil adalah mereka yang tidak pernah muncul dalam program ini. Kak Ogy juga ada berkongsi idea dalam mencari tetamu jemputan pada setiap episod,” katanya.

Antara artis yang muncul dalam program 20 episod ini ialah Afifah Nasir, Along Zaimi, Emelda Rosmila, Zizi Kirana, Datuk Profesor Chef Wan, Farah Nabilah, Shiha Zikir, Elyana, Ajak Shiro dan ramai lagi.

Disiarkan pada: January 23, 2018 @ 3:31am
d