rap

Tak kisah pilihan kedua

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Mungkin penonton di Malaysia kurang mengenali pelakon bernama Arie Untung.

Namun, bagi penonton yang sudah menonton filem Ayat Ayat Cinta 2 (AAC2), tentunya sedia maklum kewujudan Arie menerusi watak Misbah.

Di Indonesia, figura berusia 42 tahun ini bukan saja dikenali sebagai pelakon, tetapi juga sebagai pengacara menerusi program MTV.

Tak hanya ingin menjadi penghibur, Arie juga mahu memberikan mesej positif buat penonton dan menerusi AAC2, dia ingin menyebarkan maklumat mengenai Islamofobia.

“Mungkin tunjang jalan cerita AAC2 adalah mengenai kisah cinta, tapi pada masa sama, ia membawakan mesej mengenai agama dan kehidupan,” katanya.

Arie ketika ditemui di sesi fotografi bersama pelakon lain filem itu, baru-baru ini berkata, dia ada pendapat tersendiri mengenai isu berkenaan.

“Bagi saya, Islamofobia itu mungkin tak wujud, sebaliknya dicipta dan disogok oleh media Barat kepada masyarakat.

“Dalam AAC2, kita menggambarkan toleransi. Sebagai manusia dan hamba-Nya, misi kita untuk menyampaikan dakwah itu ada di mana-mana,” katanya.

Menurut suami kepada pelakon dan pengacara, Fenita Jayanti ini, sebagai masyarakat moden yang bijak, kita tak seharusnya percaya bulat-bulat terhadap setiap apa yang dipaparkan media Barat.

“Apa yang mampu saya katakan, jangan terus percaya dengan media Barat. Fikirkan apa sebenarnya yang ingin mereka sampaikan,” katanya.

Bercerita mengenai AAC2 yang ditayangkan di Malaysia sejak 11 Januari lalu itu, Arie berkongsi bahawa dia adalah pilihan kedua selepas pelakon asal watak Misbah ada komitmen lain.

“Pada awalnya, ketika produksi memaklumkan kepada saya bahawa pelakon asalnya tak dapat menghabiskan lakonannya, saya pun menganggap tawaran itu sekadar ‘ajak-ajak ayam’.

“Namun, selepas melihat skrip dan novelnya, saya tertarik dengan satu baris dialog iaitu ‘Jangan menipu Allah!’ dan terus terima tawaran itu,” katanya.

Menurut Arie yang juga bergelar pelawak di Indonesia, tidak menjadi masalah kepadanya walaupun ada yang akan menganggap dia hanya pilihan kedua.

“Saya tak ada masalah mengenainya. Siapa saja yang tak mahu menjadi sebahagian daripada jenama besar seperti AAC, kan?

“Jadi, saya terima dan teruskan walaupun penggambaran sudah bermula lima hari,” katanya yang baru saja menerbitkan program komedi, Aksi Bela Tawa yang menggabungkan beberapa ‘stand up comedian’ di Indonesia.

Disiarkan pada: January 25, 2018 @ 1:31am
d