rap

FOR promosi lagu

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Biarpun datang dari negeri berlainan, minat mendalam terhadap muzik menemukan Zack (vokal), Din (gitar), Khairuddin (bass), Muss (dram) dan Muhd Radhi (keyboard) yang dikenali sebagai kumpulan Famili Of Rock (FOR).

Pertemuan mereka ketika sesi ‘jamming’ bersama kumpulan berlainan di sebuah studio membulatkan tekad masing-masing untuk bergabung dalam FOR.

“Saya adalah anggota asal FOR yang ditubuhkan pada 2004 dan kami aktif menjayakan persembahan di karnival ekspo.

“Apabila ada anggota asal tarik diri, saya berusaha mencari pengganti dan hasilnya bertemu dengan ahli sekarang,” kata Din.

Menurut Zack, dia nampak mereka ada keserasian dan selepas itu FOR kembali beraksi di pelbagai lokasi.

Pada masa sama, FOR turut mengintai peluang menjadi artis rakaman dan usaha mereka membuahkan hasil apabila dilamar NSR Records pada 2014.

“Kami diberi peluang menghasilkan album memuatkan lima lagu dan single pertama yang diperkenalkan kepada peminat berjudul Siapalah Aku.

“FOR tampil dengan konsep muzik rock era 80-an dan 90-an serta beruntung kerana diberi peluang menerbitkan sendiri album ini,” katanya.

Mereka turut gembira kerana NSR memberikan kebebasan mencorak sendiri muzik yang ditampilkan.

“Secara tak langsung kami dapat menampilkan lagu terbaik yang boleh memikat hati pendengar. Kami bersyukur kerana Siapalah Aku sering dimainkan di stesen radio RTM.

“Selepas itu, kami tampil dengan single kedua berjudul Ampuni Aku dan sekarang single terbaru, Pergimu Bersama Mimpi,” katanya.

Lagu mereka banyak menyentuh mengenai kehidupan, kasih sayang sesama manusia dan kritikan sosial.

Din berkata, dia tidak menganggap terlalu lambat menghasilkan album kerana akur dengan situasi yang dihadapi FOR sebelum ini.

“Apa nak buat kerana sudah lumrah anggota keluar masuk. Zack asalnya penyanyi kumpulan Masa sebelum masuk FOR.

“Namun, semangat saya dan Muss sangat kuat untuk memperkenalkan FOR dan kami puas hati kerana apa yang diimpikan akhirnya tercapai,” katanya.

Menyentuh mengenai persaingan, FOR berazam bekerja lebih keras mempromosikan lagu mereka.

“Kami akan gunakan segala medium yang ada termasuk bertemu peminat secara langsung di persembahan pentas serta menggunakan laman sosial untuk mempromosi FOR.

“Kami ikhlas dalam berkarya dan mungkin faktor ini dapat memikat peminat untuk terus menyokong FOR,” kata Din.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 1:48am
d