rap

Tayangan perdana Lee Chong Wei

Oleh HM Digital

Peminat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berpeluang menjadi orang pertama menyaksikan satu-satunya tayangan filem berjudul Lee Chong Wei versi Director’s Cut berdurasi 133 minit yang akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.

Bukan sekadar dapat menonton filem dengan versi 133 minit yang takkan dapat disaksikan di mana-mana pawagam, mereka yang hadir juga mungkin dapat bersua muka dengan jaguh badminton itu apabila beliau sendiri dijadualkan hadir pada acara tayangan berkenaan.

Majlis anjuran CB Pictures dan Sky Events dengan kerjasama Mahu Pictures ini juga akan dimeriahkan dengan kehadiran jaguh badminton negara yang lain, selebriti, pengarah serta pelakon filem terbabit.

Filem arahan Teng Bee itu mengisahkan kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku sehingga beliau muncul sebagai pemain badminton nombor satu dunia.

Ia membariskan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor yang membawa watak jurulatih Chong Wei iaitu Datuk Misbun Sidek, pelakon Singapura, Mark Lee (sebagai bapa, Lee Ah Chai), Yeo Yann Yann (sebagai ibu, Khor Kim Chooi), Ashley (sebagai isteri, Datin Wong Mew Choo) dan Tosh Chan membawa watak Chong Wei.

Filem berkenaan akan ditayangkan di dalam stadium menggunakan layar gergasi LED berukuran 40 meter x 17 meter, sekali gus menjadikannya sebagai majlis tayangan perdana filem terbesar di Malaysia.

Dalam kenyataan kepada Bling!, acara terbabit dijangka dihadiri sekurang-kurangnya 20,000 penonton dan bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records.

Penerbit eksekutif filem berkenaan, Datuk Joe Lee berkata, Chong Wei sendiri belum lagi menonton filem berkenaan.

“Beliau juga akan menyaksikannya buat kali pertama bersama penonton yang hadir pada acara itu nanti. Ia akan menjadi majlis yang istimewa buat Chong Wei dan semua yang hadir,” katanya.

Pada acara berkenaan, peminat juga boleh menyaksikan acara permaidani merah sepanjang 100 meter yang mengalu-alukan kedatangan jaguh badminton tanah air, pelakon filem ini dan tetamu selebriti.

Pihak penganjur akan turut menjemput skuad badminton negara yang menjuarai Piala Thomas 1992 ke acara penuh bermakna itu.

Selain itu, penonton akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular yang bakal diumumkan kelak. Mereka akan menyanyikan lagu tema filem terbabit.

Sekurang-kurangnya 10 gerai penaja akan disediakan di dalam Stadium Nasional sebaik saja pintunya dibuka untuk penonton bermula jam 4 petang.

Tiket menyaksikan acara berkenaan dijual pada harga RM88, RM108, RM128 dan RM168. Ia boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia mulai 20 Januari lalu.

Sebarang pertanyaan mengenai tiket boleh dikemukakan di talian +603-86050195.

Setiap pembelian tiket membolehkan penonton secara percuma menerima sehelai kemeja-T bernilai RM59, sekeping tiket di pawagam GSC, sekeping poster edisi terhad filem Lee Chong Wei yang ditandatangani beliau dan pelakon serta beg tenunan tajaan filem itu.

Semua pemberian percuma itu akan diedarkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari tayangan perdana.

Selain itu, pembeli tiket juga berpeluang memenangi hadiah menarik untuk cabutan bertuah.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 2:14am
d