rap

Fizi, Kila nikah 18 Feb 2018

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYAMPAI radio Suria FM, Fizi Ali dan pelakon, Shakila Khoriri sepakat memilih 18 Februari 2018, sebagai tarikh majlis pernikahan.

Fizi, 29, berkata mereka sepatutnya bernikah pada Disember tahun lalu.

Namun, katanya, atas komitmen kerja yang tidak boleh dielakkan, dia dan tunangnya itu terpaksa menunda majlis perkahwinan.

“Alhamdulillah, selepas lebih tiga tahun bercinta, kami bakal diijab kabul. Pada awalnya, kami nak pilih 18 Ogos (18.8.18), tetapi terlalu lama la pula.

“Kami fikir buat apa nak lambatkan perkara baik. Jadi, selepas berbincang dengan kedua-dua keluarga, kami sepakat untuk bernikah pada 18 Februari disusuli dengan majlis resepsi pada hari sama.

“Sejujurnya, saya masih tidak percaya bakal berkahwin dan menggalas tanggungjawab baru sebagai suami. Terima kasih atas doa dan sokongan kepada saya dan Kila,” katanya kepada Harian Metro.

Fizi menjelaskan, meski majlis yang bakal berlangsung kurang sebulan, namun masih ada beberapa persiapan yang belum dibuat.

“Saya boleh katakan persediaan banyak pada pada saat akhir. Sekarang baru nak edar kad kahwin.

“Malah ada barang hantaran belum beli lagi. Dewan majlis pun masih dalam perbincangan.

“Semua ini disebabkan jadual kerja kami yang padat dan tidak menentu.

“Saya kerja pagi dan balik tengah hari. Kila pula tengah hari sehingga malam dia sibuk dengan penggambaran. Jadi, agak susah sikit nak curi masa berjumpa.

“Kalau perasan, di Instagram jarang ada gambar bersama. Kalau ada pun, ia gambar lama yang dimuat naik semula.

“Alhamdulillah, walaupun banyak dibuat pada saat akhir, Tetapi Allah permudahkan segalanya,” katanya.

Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 16 Julai lalu.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 9:57pm
d