rap

Tahun baru bawa sinaran

Oleh Norhayati Nordin

Penyanyi Ewal Ismail menyifatkan 2018 bakal melakar catatan menarik dalam kembara seninya.

Malah dia terharu apabila mendapat kepercayaan pencipta lagu berpengalaman, Datuk Wah Idris.

Ewal atau Ikhwal Hafiz Ismail, 25, bekerjasama dengan Wah menyanyikan lagu Wow! Kita The Greatest untuk Sukan Malaysia tahun ini (Sukma 2018). Sukma 2018 akan berlangsung di Perak dan sebagai anak jati negeri itu, Ewal berasa sangat teruja.

Ewal berkata dia berbanyak terima kasih kepada Wah selaku komposer lagu Wow! Kita The Greatest kerana memilihnya.

“Saya bukan penyanyi dalam kelompok popular tetapi peluang keemasan ini buat saya terharu.

“Apatah lagi, sebagai anak jati Perak saya teruja dapat menyanyikan lagu tema untuk Sukma 2018,” katanya.

Ewal berkata, dia sudah menjalani penggambaran video lagu itu baru-baru ini.

“Meskipun jarang muncul dalam program hiburan TV, karier nyanyian saya masih berjalan seperti biasa.

“Saya masih berkhidmat sebagai guru vokal di Akademi Suara dan hujung minggu pula akan terbabit dengan persembahan korporat,” katanya.

Menurut Ewal, dia juga bakal muncul dengan single baru bergenre R&B hasil ciptaannya sendiri.

Mula menyanyi sejak kecil, Ewal pernah melakar kejayaan di Hollywood dan menang tempat ketiga pentas Akademi Fantasia 2014 (AF2014).

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 4:28am
d