rap

Penjenamaan semula Alif

Oleh Ardini Sophia Sina

Meraih pelbagai kejayaan dan kenangan bersama kumpulan Sleeq, Alif tidak berasa kekok walaupun kini bergerak secara solo.

Dua tahun menyepi, Alif yang muncul dengan lagu Buat Selamanya mengakui tidak dapat melupakan industri muzik. Baginya bidang itu tidak hanya dipandang sebagai karier, juga jiwa dan kehidupannya.

“Saya tidak mungkin tinggalkan industri muzik. Saya sayangkan muzik dan ia sudah jadi jiwa saya. Saya tidak tahu buat perkara lain selain muzik.

“Jadi, saya akan berusaha melakukan yang terbaik untuk terus kekal dalam industri. Sejak awal pembabitan, saya sudah tanamkan dalam diri agar meneruskan perjuangan biar apa pun yang berlaku.

“Ketika masih bersama Sleeq, ada beberapa anugerah yang kami dapat tetapi kemenangan itu tidak membuatkan saya selesa. Tidak kira setinggi mana pun pencapaian, saya selalu sematkan dalam fikiran untuk terus buat muzik sampai mati,” katanya.

Walaupun tidak lagi bersama Sleeq, Alif masih dikaitkan dengan kumpulan itu. Jejaka kelahiran Singapura ini bagaimanapun tidak berkecil hati sebaliknya sentiasa bersikap terbuka.

Dia sedia maklum situasi itu akan berlaku. Alif sedar, penjenamaan semula namanya bukan perkara mudah. Dia harus bekerja keras untuk menghasilkan lagu yang mampu menaikkan kerjaya solonya.

“Saya tidak tahu hingga bila akan terus-menerus dikaitkan dengan Sleeq apatah lagi dalam industri ada beberapa selebriti yang namanya sama dengan saya.

“Ada perbincangan yang dibuat agar saya terus mengekalkan Sleeq sebagai pengenalan diri tetapi bagi saya, itu tidak adil. Nama Sleeq sudah berada pada tahap tersendiri, kurang selesa menumpang populariti Sleeq,” katanya.

Tambah Alif, genre lagu yang dibawa pula jauh berbeza dengan naskhah yang pernah dipopularkan Sleeq. Itu antara punca dia ingin berdiri atas nama sendiri tanpa perlu menumpang.

Lega dengan maklum balas peminat terhadap lagunya, Alif bersyukur dan gembira berjaya menarik perhatian peminat baru. Dia menerima banyak pujian menerusi akaun laman sosial.

Enggan terbuai dengan pujian, dia membaca dan menilai komen yang ditulis pengikutnya pada Instagram mengenai lagu Buat Selamanya. Dia juga cuba berinteraksi dengan peminatnya menerusi medium itu.

“Selagi boleh jawab komen mereka, saya akan cuba. Saya ingin kekalkan hubungan baik dengan peminat. Memang gemuruh apabila muncul dengan lagu baru tetapi lega melihat penerimaan mereka.

“Ada juga yang tanya, kenapa selepas sekian lama menyepi saya tiba-tiba muncul dengan lagu yang ada potensi untuk rugi. Ramai penyanyi yang boleh menyanyi lagu balada dengan baik, sokonglah mereka.

“Sebenarnya menerusi lagu ini saya cuba tampilkan kelainan. Saya ada identiti sendiri dan lagu ini menggambarkan diri saya yang sebenar. Namun, jalan cerita yang diselitkan dalam Buat Selamanya tidak ada kaitan dengan pengalaman saya,” katanya.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 4:35am
d