rap

'Perfect' Yuna, Adam Sinclair [METROTV]

Oleh Shakilawati Abd Rahman

PENYANYI, Yunalis Mat Zara'ai atau Yuna, 32, dan pasangannya Adam Sinclair, 34 diraikan dalam majlis penuh meriah di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam ini.

Pasangan pengantin yang tiba pada 9 malam, anggun dengan persalinan rona putih rekaan pereka fesyen Hatta Dolmat.

Majlis dihadiri lebih 1,500 tetamu termasuk orang kenamaan.

Hadir sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; RajaMuda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamlullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam majlis itu, pengantin dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan Hujan dan Aizat Amdan.

Selain itu, biras Yuna yang juga penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari turut berduet dengan Aizat menerusi lagu Aku & Dirimu.

Tidak ketinggalan, rakan Yuna yang juga penyanyi kelahiran program The Voice Amerika Syarikat, Dez Duron turut menyampaikan dua lagu.

Bapa Yuna, Datuk Mat Zarai'ai Alias turut melakukan kejutan dengan menyanyikan lagu Perfect dendangan asal Ed Sheeran, malah beliau turut menyanyikan lagu Corazon Espinado nyanyian asal Carlos Santana sambil bermain gitar.

Terdahulu, majlis pernikahan Yuna dan Adam berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang, Jumaat lalu.

Disiarkan pada: January 28, 2018 @ 11:23pm
d