rap

Bakal suami 'ceramah' Dynas

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Dynas Mokhtar tidak kisah menjalani kursus kahwin buat kali kedua meski pernah mengikut ketika perkahwinan pertama dahulu.

Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 35, berkata sekurang-kurangnya kursus itu membolehkan dia 'refresh' semula mengenai alam perkahwinan sebelum berkahwin dengan tunangnya, Shazrik Din, 34, pada April ini.

"Saya dan Rik (Shazrik) pergi kursus kahwin Sabtu lalu. Agak kelakar juga, sebab peserta lain semua muda dan kami saja yang sedikit berusia.

"Pada mulanya, saya cakap kepada Rik sudah pernah pergi, tetapi dia ajak juga. Malah, dalam nada berseloroh dia bagi 'amaran'. Kalau nak kahwin dengan dia, kena pergi juga. Kalau tidak, tak boleh kahwin," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dynas, sepanjang dua hari mengikuti kursus itu, bakal suaminya banyak kali mengingatkan mengenai tanggungjawab selepas berkahwin nanti.

"Rik banyak kali ulang apa yang ustaz ajar. Dia pula beri 'ceramah' semula. Dia cakap, dalam perkahwinan ini kena berhati-hati dan banyak berkomunikasi.

"Malah, dia juga pesan kalau berkahwin nanti tidak boleh buat keputusan sendiri. Sentiasa berbincang dalam apa jua perkara ingin dilakukan," katanya.

Ditanya mengenai tarikh perkahwinan mereka, Dynas berkongsi majlis nikah bakal berlangsung pada April ini.

"Sebelum ini tidak ada tarikh yang ditetapkan. Malah, kami pernah rancang nak nikah pada Februari atau Mac.

"Namun, selepas mengadakan perbincangan dengan kedua belah pihak, semua bersetuju pilih April. Namun, saya belum boleh berkongsi tarikh.

"Insya Allah, saya akan maklumkan kepada semua. Jadi, doakan segala yang dirancang berjalan lancar dan urusan kami dipermudahkan Allah," katanya.

Pasangan ini bertunang pada Oktober tahun lalu selepas empat tahun bercinta.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 2:17pm
d