rap

Gementar di No Black Tie

Oleh Georgie Joseph

Menginjak usia 18 tahun dan sudah menamatkan persekolahan, penyanyi Nik Qistina berazam mahu mengukuhkan namanya dalam kerjaya muzik tahun ini.

Dikenali menerusi lagu Young Hearts, Nik Qistina sudah ada perancangan sendiri bagi merealisasikan impian itu.

Menurutnya, dia tiada alasan untuk mengatakan tidak terhadap apa juga tawaran seni selepas ini.

Apa yang pasti, kerjaya muzik menjadi keutamaannya sekarang selepas tahun lalu sibuk memberi fokus terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya memang mahu all out untuk tahun ini sebagaimana yang saya impikan selama ini dalam bidang muzik. Inilah masa untuk saya kembali fokuskan semula kepada kerjaya tanpa ragu-ragu.

“Sebelum ini saya ada perkara lain yang perlu diutamakan iaitu pelajaran. Sekarang inilah masanya untuk kembali dekat dengan mereka semula dan saya berjanji akan kerap muncul di khalayak. Saya rindukan peminat saya,” katanya.

Bukan sekadar bercakap kosong, Nik Qistina juga dalam proses menyiapkan EP di mana kali ini dia memastikan lagunya lebih mesra di telinga pendengar.

“Saya teruja untuk EP akan datang disebabkan ia adalah buah tangan yang memang saya impikan selama ini. EP itu bakal memuatkan lagu Melayu.

“Ada lima lagu semuanya dan empat sudah disiapkan. Ia mengambil masa sedikit disebabkan saya memang sangat terperinci dalam memastikan ia adalah yang terbaik,” katanya.

Sebagai penyanyi yang baru bertapak, Nik Qistina tidak meletakkan had terhadap dirinya untuk terus maju.

Baginya, dia perlu berkembang dalam cara tersendiri tanpa melihat saingan daripada orang lain.

“Saya sentiasa tetapkan untuk menjadi seseorang yang jauh lebih baik daripada sebelumnya. Disebabkan itu, saya tidak mahu menyaingi sesiapa selain diri sendiri.

“Itulah pendekatan yang terbaik untuk saya. Ia dapat memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Setiap perkara dalam hidup saya lakukan dengan sepenuh hati, begitu juga muzik,” katanya.

Memulakan aktiviti seninya tahun ini, Nik Qistina mengadakan persembahan sulungnya di No Black Tie, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengakui agak gementar memandangkan pertama kali membuat persembahan solo, bagaimanapun dia bersyukur dengan kehadiran ramai wajah dikenali pada malam itu.

“Saya memang gementar dan saya meletakkan harapan untuk berseronok di atas pentas. Syukur, segalanya berjalan lancar walaupun banyak cabaran terutama ketika latihan.

“Bagaimanapun, melihat wajah yang hadir terutama keluarga, ia sedikit sebanyak menaikkan semangat saya. Lagipun saya memang tidak pernah menyanyi di depan mereka dan sokongan itu mengurangkan sedikit rasa gementar,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2018 @ 2:18pm
d