rap

Wany Hasrita 'sapu bersih'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Anugerah ERA Digital Muzik 2017 (ERADMA17) yang berlangsung Khamis lalu jauh lebih baik daripada penganjuran edisi pertama, tahun lalu.

Pengurus Kandungan ERA, Dhan Andreas berkata, ERADMA17 menunjukkan peningkatan ketara dari segi kualiti persembahan, kerja kamera dan pencalonan setiap kategori.

“Tahun lalu ada beberapa perkara yang kurang memuaskan. Jadi, untuk edisi kedua ini pihak produksi membuat penambahbaikan supaya acara yang berlangsung jauh lebih bagus berbanding sebelumnya.

“Walaupun program ini hanya disiarkan secara langsung di Facebook ERA, namun kualiti sama seperti program siaran langsung di kaca TV. Saya puji ERADMA17 kerana mampu membuatkan tetamu yang hadir terhibur.

“Kebanyakan maklum balas diterima di Facebook sepanjang acara berlangsung juga bagus. Mungkin juga barisan artis yang membuat persembahan sedang popular dan mengikut cita rasa peminat,” katanya.

Dhan berkata, kategori yang dipertandingkan tidak klise dan berbeza dengan beberapa anugerah muzik sedia ada.

Dhan juga tidak menafikan kuasa peminat dalam menentukan pemenang bagi enam kategori.

“Kalau perasan, kebanyakan calon tahun ini terdiri daripada penyanyi baru. Malah, dalam carta ERA tahun lalu pun, mereka mendominasi carta. Ini adalah pilihan pendengar dan kita tidak boleh nafikan.

“Jadi, untuk anugerah ini pun kita masih memberi sepenuh kuasa kepada mereka untuk mengundi siapa yang layak berada pada kedudukan Top 5, seterusnya menjadi pemenang. Bagi saya, ERADMA17 berbeza daripada kebanyakan acara anugerah lain termasuklah kategori yang dipertandingkan,” katanya.

Menurut Dhan, pihaknya bercadang untuk mewujudkan kategori Muzik Video pada ERADMA tahun depan.

Wany Hasrita cemerlang

Pada acara yang dihoskan Nabil Ahmad, penyanyi, Wany Hasrita menyapu bersih dua kategori yang mencalonkan namanya termasuk dinobatkan sebagai Lagu Paling Lama Dalam Carta ERA menerusi lagu Menahan Rindu.

Dua anugerah lain dimenangi Wany adalah Artis ERA Jaa TV Terbaik dan Penyanyi Kolaborasi Terbaik ERA bersama Tajul menerusi lagu Di Sana Cinta Di Sini Rindu.

“Saya tidak menyangka menang tiga anugerah. Saya bersyukur single pertama, Menahan Rindu boleh pergi sejauh ini dan mendapat sambutan baik daripada peminat.

“Bagi saya, ini adalah rezeki. Sebelum ini, saya melihat ramai penyanyi bekerja keras untuk berjaya. Namun, saya dengan sekelip mata. Jadi, ini membuatkan saya sangat menghargai apa yang diterima,” katanya.

ERADMA17 juga mencipta kejutan apabila kategori Lagu Paling Lama Dalam Carta ERA turut menobatkan lagu Warkah Untukku nyanyian Ara Johari.

Lagu itu juga berjaya bertahan dalam carta ERA selama 39 minggu bersama lagu Menahan Rindu.

Ara berkata, dia terkejut dan tidak menyangka lagu ciptaan Hang Nadim itu bertahan lama dalam carta.

“Lagu ini berjaya memperkenalkan nama saya dalam industri muzik. Malah, saya anggap ini adalah rezeki. Biarpun orang selalu bercakap saya jauh lebih popular daripada juara AF2016 iaitu Amir, bagi saya setiap orang ada kelebihan masing-masing.

“Apa saya terima ini bonus supaya lebih bekerja keras. Saya tidak boleh duduk diam saja atau bersikap selesa. Banyak lagi yang perlu diperbaiki terutama soal vokal dan persembahan.

“Walaupun tewas di tangan Khai Bahar bagi kategori Lagu Cover Terbaik ERA, saya tetap puas hati apabila lagu ini mengalahkan lagu lain untuk kekal dalam carta,” katanya.

Selain Wany dan Ara, penyanyi Hael Husaini juga diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Viral ERA menerusi lagu Jampi.

Sementara itu, kategori Temubual Terbaik Carta ERA 40 menjadi milik Neelofa, Fatin Afeefa dan Syafiq Klyle (Res Velvet).

Penyanyi, Khai Bahar pula tidak pulang tangan kosong apabila menang kategori Lagu Cover Terbaik ERA menerusi lagu Luluh.

Bagi kategori Personaliti Lari Bidang Terbaik ERA dimenangi pelawak Achey yang kini bergelar penyanyi.

Barisan artis yang turut membuat persembahan terdiri daripada Haqiem Rusli, X Pose Band, Aiman Tino dan Farah Hazel, Khai Bahar, Nabila Razali, Achey, Hael dan Virgoun.

Pemenang setiap kategori kecuali Lagu Paling Lama Dalam Carta ERA dipilih berdasarkan undian 100 peratus peminat melalui laman web ERA.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 3:38am
d