rap

Kisah cinta menyakitkan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Mengungguli beberapa carta lagu Inggeris di stesen radio tempatan, Bedroom Floor dendangan Liam Payne nampaknya mula mendapat tempat.

Dari segi lagu, hasil kerjasama beberapa penulis lagu hebat ternyata menghembuskan roh terbaik dalam lagu bergenre pop ini.

Jika diikuti perkembangan kerjaya solo Liam, tentunya pendengar akan dapat mendengar beberapa pembaharuan di samping kelainan berbanding dua single sebelum ini.

Menerusi lagu ini, Liam meneroka kisah cinta menerusi sudut berbeza dan dipaparkan dalam video muzik Bedroom Floor.

Anggota One Direction itu menyajikan rasa cinta yang makin berkurangan antara pasangan dalam satu situasi yang tegang di bilik tidur.

Dalam muzik video lagu ini, seorang wanita jelas terlihat kesal dan berdepan dengan kekasihnya yang curang.

Melepaskan ketegangan dan rasa marah itu, wanita terbabit melemparkan semua pakaian kekasihnya di dalam kolam renang.

Bedroom Floor juga adalah single ketiga Liam sebagai penyanyi solo selepas Strip That Down dan satu kolaborasi bersama Zedd, Get Low.

Belum cukup dengan tiga single, Liam juga akan hadir dengan single keempatnya yang masih dalam pembikinan.

Liam dalam satu temu bual berkata, ini adalah hasil kerja kerasnya.

“Saya bekerja keras untuk single akan datang dan apa yang boleh saya katakan, ia memakan masa lebih setahun,” katanya.

• LAGU: Bedroom Floor

• PENYANYI: Liam Payne

• CIPTAAN: Jacob Kasher Hindlin, Charlie Puth, Ammar Malik, Steve Mac, Aaron Jennings & Noel Zancanella

• LABEL: Capitol & Republic

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 3:48am
d