rap

Nana masih tunggu jodoh...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“Untung jadi ‘single’, tidak perlu ada ‘drama’, bergaduh, menangis, risau, kekeliruan dan sebarang masalah,” tulis penyanyi Siti Nordiana, 34, sekali gus menjawab teka-teki banyak pihak mengenai status dirinya.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, kenyataan dimuat naik di laman Instagram miliknya itu untuk diri sendiri, dan bukannya ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Kenyataan ini lebih kepada ‘peringatan mesra’ yang mana solo lebih baik daripada bercinta. Melainkan, jika sudah ada calon berkahwin adalah jalan terbaik.

“Dalam masa sama, kenyataan ini adalah kata-kata semangat untuk diri sendiri termasuk semua yang solo dan belum ada jodoh, tapi disampaikan dalam bentuk kiasan,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Nana menafikan status yang dimuat naik itu seolah-olah memperlihatkan dia masih trauma dengan perkahwinan terdahulu yang berakhir dengan perceraian.

“Saya solo sampai sekarang sebab belum ada jodoh. Saya sama seperti wanita lain yang inginkan pasangan hidup. Cuma, Allah belum pertemukan dengan lelaki terbaik.

“Sebagai manusia, siapa saya untuk melawan takdir dan ketentuan Allah. Kalau Dia kata jodoh saya esok, saya pasti berkahwin juga. Namun, dalam perkara ini saya belum terdesak nak cari pasangan.

“Saya selesa dengan kehidupan sekarang. Lagi pula, masih banyak yang perlu saya kecapi terutama nak membahagiakan keluarga,” katanya.

Menurut Nana, dia tidak akan berahsia mengenai majlis perkahwinannya sekiranya suatu hari nanti bakal berkahwin.

“Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, saya sedia berkongsi berita gembira kepada semua.

“Terima kasih atas doa dan keprihatinan terhadap saya selama ini. InsyaAllah, kalau ada jodoh, adalah. Saya juga sentiasa berdoa ke arah itu,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 10:30am
d