rap

Sarat tapi masih ligat

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Biarpun hamil lapan bulan, pelakon, pengarah dan juga aktivis teater, Dr Norzizi Zulkifli masih ligat di pentas teater.

Terbaru, Norzizi, 42, mengarahkan pementasan teater Mak Yong Titis Sakti yang dipersembahkan pada 27 Januari sehingga 4 Februari ini di Pentas 1, KLPac, Sentul Park.

“Saya merancang teater ini pada Mei tahun lalu untuk pementasan Mac ini. Namun apabila disahkan hamil, saya ambil keputusan untuk awalkan tarikh persembahan. Saya tidak mahu pementasan ini ditunda sebab selepas bersalin nanti mesti liat nak bekerja semula.

“Saya gagahkan juga menyiapkan skrip dan segala yang diperlukan. Sesi latihan bermula November lalu. Alhamdulillah, saya okey dan tidak ada masalah. Dalam erti kata lain perancangan ini dipermudahkan,” katanya.

Pun begitu, Norzizi yang juga terbabit dalam teater Bangsawan Dendam Laksamana pada November lalu akui ada hari dia malas dan penat.

Namun demi tanggungjawab Norzizi redah dan tolak tepi realiti dirinya sedang sarat hamil anak keempat yang dijangka bersalin pada hujung bulan ini.

“Apabila sudah sarat, memang banyak halangan perlu ditempuh. Setiap kali nak keluar latihan pasti rasa malas dan penat. Sesekali saya mengalami kejang kaki. Alhamdulillah, tidak ada lagi masalah kesihatan yang serius.

“Cuma, memikirkan ada tugas yang perlu disempurnakan saya harus kuatkan diri. Sehinggakan suami cakap, sudah-sudahlah dan berehat dulu.

Namun saya tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana segala perancangan sudah diatur. Pementasan ini membabitkan banyak pihak,” katanya.

Berkongsi mengenai teater yang membariskan pelakon seperti Rosnan Rahman, Mardiana Alwi dan Ezdianie Hayatie Omar itu, Norzizi berkata, ia mendapat sambutan baik daripada peminat makyung.

“Alhamdulillah, teater ini mendapat sambutan baik. Saya berterima kasih kepada semua penonton yang hadir memberikan sokongan. Dalam pada pementasan berbaki empat hari lagi, saya harap lebih ramai yang datang.

“Saya boleh janjikan persembahan hebat daripada pelakonnya. Macam Rosnan, kehebatannya tidak dipertikaikan lagi. Bagi Mardiana pula, dia memberikan komitmen yang bagus meskipun sedang hamil empat bulan.

Mardiana dan Ezdianie adalah pelapis dalam makyung,” katanya.

Bakal dapat anak perempuan

Mengenai kehamilannya, Norzizi berkata, dia bakal bersalin anak perempuan. Malah, segala persiapan akan dibuat selepas selesai pementasan.

“Beza sangat ketika nak bersalin anak sulung dengan sekarang. Kalau dahulu, awal lagi sudah ada persiapan. Apabila masuk kedua, ketiga dan keempat ini, semakin lambat pula.

“Insya-Allah, bayi yang bakal lahir adalah perempuan. Jadi, cukup dua pasang anak lelaki dan perempuan. Anak sulung dan kedua lelaki kini berusia 11 dan sembilan tahun manakala anak ketiga pula perempuan, lapan tahun,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 2:27am
d