rap

Langkah kanan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Pertama kali bertemu Alex Chai, naib juara realiti Hero Oven musim kedua yang baru melabuhkan tirainya baru-baru ini, wujud aura positif dan semangat bekerja keras.

Setiap perbualan dan jawapan kepada pertanyaan yang diajukan sangat tegas.

Bagi Alex, dia yakin dengan kemampuan diri walaupun sekadar berpuas hati di tempat kedua.

“Saya sebenarnya tak pernah mengikuti program ini untuk musim pertama. Jadi, apabila ada musim kedua, saya dimaklumkan rakan dan memberanikan diri untuk turut serta,” katanya.

Anak kelahiran Sabah ini juga menyimpan impian besar walaupun dia sedar pengetahuannya dalam bidang pastri tidak sebanyak peserta lain.

“Saya bekerja sebagai cef pastri, namun lebih cenderung kepada dekorasi kek. Jadi, saya tak berapa banyak ilmu dalam penghasilan pastri.

“Namun itu tak membuatkan saya mengalah atau rasa lemah, sebaliknya terus menghasilkan yang terbaik untuk memuaskan hati juri,” katanya.

Ditanya mengenai kelebihannya berbanding peserta lain, Alex berkata, dia gemar bereksperimen dengan rasa.

“Saya suka hasilkan perasa yang berbeza berbanding yang pernah ada. Antara yang saya hasilkan adalah campuran strawberi dan lada hitam.

“Tak semua orang berfikir untuk mewujudkan rasa itu dan saya cuba gabungkan kedua-duanya, menghasilkan sesuatu yang baru,” katanya.

Selesai dengan Hero Oven, Alex membuat beberapa perancangan untuk memantapkan lagi perjalanan kariernya yang menjengah enam tahun.

“Saya akan teruskan kerja saya sebagai ‘freelance home baker’. Tapi, pada masa sama, saya akan bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk menguruskan acara.

“Selain di dapur, saya juga sukakan kerja di belakang tabir. Jadi, saya akan bekalkan kek serta meja manisan untuk mana-mana majlis,” katanya.

Apa pun, Alex menganggap Hero Oven adalah pembuka pintu rezeki supaya lebih bercambah pada masa akan datang.

“Saya sendiri pun tak pernah menyangka akan ke pusingan akhir. Jadi, Hero Oven sedikit sebanyak membantu saya mendapatkan ilmu baru dalam bidang pastri.

“Selain itu, ia juga menjadi platform terbaik untuk saya mengejar impian mengembangkan karier saya dalam bidang ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 1:59am
d