rap

Alif Satar lepas rindu

Oleh Georgie Joseph

Selepas empat tahun menanti, penghibur serba boleh Alif Satar, 28, kembali menjayakan persembahan solo di hadapan lebih 150 peminatnya pada acara An Evening With Alif Satar di Timbre, Kuala Lumpur, kelmarin.

Sejak kebelakangan ini, Alif banyak terikat dengan tugasan mengacara dan berlakon sehingga dia seakan-akan mengetepikan fokusnya terhadap nyanyian.

Bagaimanapun, selepas tampil dengan single baru berjudul Sesungguhnya Aku, nama Alif kembali mekar di persada muzik berikutan sambutan hebat terhadap lagu itu.

Ini disusuli dengan persembahan ini dan dia mengakui kerinduannya terubat.

“Setiap penyanyi pastinya mengimpikan untuk beraksi di depan peminat dan menghiburkan mereka. Akhirnya saya dapat menunaikan hasrat itu dan sangat gembira melihat kehadiran memberangsangkan pada hari ini (kelmarin).

“Kepuasan dapat beraksi di depan peminat sendiri sememangnya berbeza. Selama ini saya kerap menyanyi di acara korporat tetapi bukan di hadapan peminat saya.

“Bukan mudah untuk mereka melihat persembahan saya menyanyikan lagu-lagu seperti dipersembahkan hari ini. Jadi, tampil dengan persembahan yang lebih intim sebegini lebih mendekatkan saya dan mereka,” katanya.

Menyanyikan enam lagu iaitu Feel Good, Versace on the Floor, Perfect, Akhiri Penantianku, Lelaki Seperti Aku dan Sesungguhnya Aku, bisa Alif di atas pentas memang tersendiri.

Paling mengagumkan dia begitu selesa dan tidak canggung langsung beraksi lincah di pentas. Mengambil kira pengalamannya sebagai pengacara, dari segi komunikasi jelas dia sangat cemerlang.

Peminat yang hadir hari itu pasti kurang puas dengan persembahan tidak sampai sejam daripadanya. Ini kerana banyak lagi lagu nyanyiannya yang tidak didendangkan.

Ditanya bila lagi mahu mengadakan konsert besar pula, Alif berkata, dia memang mahu melakukannya sejak dulu.

Namun, baginya konsert adalah satu acara yang besar dan tidak boleh diambil mudah.

“Penyanyi mana yang tidak mahu adakan konsert sendiri? Itu memang satu daripada impian saya sebagai penyanyi dan berharap dalam merealisasikannya tidak lama lagi.

“Lagipun dari segi lagu sememangnya sudah cukup untuk dipersembahkan di konsert. Bahkan, hari ini pun ada beberapa lagu yang saya tidak sempat dendangkan kerana masa amat terbatas.

“Namun saya akui bukan mudah untuk mengadakan konsert sendiri. Banyak aspek perlu dititikberatkan demi mencapai tahap kualiti acara yang terbaik,” katanya.

Dalam kesibukannya mengacara dan berlakon, Alif bersyukur dia mendapat tawaran untuk terbabit dalam beberapa acara besar dalam muzik juga nanti.

“Walaupun bukan konsert solo, saya sangat terharu dengan tawaran mengadakan konsert di Singapura tidak lama lagi. Lebih menarik, saya akan bergabung dengan rakan penyanyi termasuklah Siti Nordiana,” katanya.

Turut hadir memberi sokongan dalam persembahannya itu, anggota keluarganya serta kenalan terdekat. Dia jelas lebih bersemangat melihat wajah orang tersayang.

Sentiasa memperbaiki diri

Dalam pada itu, Alif juga berhasrat mahu terus kekalkan momentum serta meneroka ruang dalam industri seni sebaik-baiknya.

Tidak dinafikan, setiap perkara yang diceburinya dalam bidang itu sentiasa mendapat pujian. Dia cemerlang dalam setiap lapangan dan tampak begitu bersungguh-sungguh.

Alif berkata, sentiasa memperbaiki diri adalah formula digunakannya selama ini selain sentiasa mengambil pengajaran daripada setiap pengalaman.

“Apabila orang kata kita tidak boleh menilai diri sendiri, itu tidak benar. Sebenarnya diri sendirilah yang harus meletakkan kita ke tahap diingini.

“Saya sendiri mengambil pendekatan itu dalam hidup. Pengalaman lalu sangat penting di mana jika ada perkara yang perlu diperbaiki, maka saya akan beringat pada hari kemudian dan tidak mengulangi kelemahan atau kesilapan itu,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 2:16am
d