rap

Radin kena lagi...

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYAMPAI radio, Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy, 28, menafikan gosip mengenai dirinya dikaitkan dengan penyanyi, Amira Othman.

“Kami memang kenal rapat dan dah berkawan lama. Saya juga dah kenal ahli keluarganya tapi ia adalah sekadar kawan biasa dan tak lebih dari itu,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah penyampai Era itu, dia juga menolak kenyataan beberapa netizen yang menganggap dia cuba memikat Amira.

“Saya memang sering gunakan ayat ‘pick up line’, tapi itu adalah bahan kandungan saya ketika mengacarakan sesuatu majlis atau di konti.

“Jadi, di majlis pelancaran single baru Amira baru-baru ini, saya hanya menjalankan tugas saya sebagai pengacara majlis, dan tak sangka pula disalah anggap,” katanya.

Kata Radin lagi, dia juga tidak berniat untuk mencipta gosip, sebaliknya ingin bekerja keras di dalam industri untuk menyara kehidupannya dan keluarga.

“Saya sendiri pun dah penat apabila sering dikaitkan dengan artis. Saya harap, dengan kenyataan ini, ramai yang faham dan tidak salah anggap.

“Lagi pula, Amira dan keluarganya pun bukanlah artis yang sering dikaitkan dengan gosip. Jadi, saya tak mahu kerana hal sebegini membuatkan mereka tak selesa,” katanya.

Ini bukan kali pertama dia dikaitkan dengan artis popular. Sebelum ini, nama Radin pernah dikaitkan dengan beberapa artis lain iaitu Ayda Jebat dan Nabila Razali.

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 4:08pm
d